Dua kluser baharu dikesan hari ini

Dua kluser baharu dikesan hari ini

Kota Kinabalu: Dua kluster baharu direkodkan di Sabah hari ini dengan melibatkan penularan jangkitan Covid-19 di kalangan komuniti.

Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, dua kluster berkenaan adalah Kluster Pauh – Kinabatangan dan Kluster Angsana – Papar.

“Bagi Kluster Pauh – Kinabatangan, ia berlaku di Kg Pauh Mukim Buang Sayang Kinabatangan dengan melibatkan kes indeks seorang lelaki, warganegara Indonesia, 21, pekerja ladang (penyabit) di sebuah ladang sawit persendirian.

“Aktiviti saringan kontak rapat kemudian mengesan 23 kes positif COVID-19 dalam kalangan kontak keluarga, sosial dan tanggungan.

“Manakala Kluster Angsana – Papar pula, kluster ini mula dikesan apabila pesakit buah pinggang, wanita, 66, yang menjalani rawatan di unit dialisis swasta di Jalan Lintas, Kepayan tiga kali seminggu, disahkan positif dalam saringan bergejala pada 10 Julai lalu,”katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kluster itu menyumbang kepada tujuh kes positif setakat ini dengan pengesanan kontak rapat, kawalan penularan penyakit, disinfeksi dan siasatan punca jangkitan masih giat dijalankan.

Sementara itu dalam perkembangan berasingan, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata, jumlah kes positif baharu Covid-19 pada hari ini adalah sebanyak 651 kes.

“Ia sekaligus menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 75,796 kes.

“Dua kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu di daerah Kota Kinabalu dan Sipitang,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|