Tiga lelaki ditahan pecah masuk gudang

Tiga lelaki ditahan pecah masuk gudang

Labuan: Tiga lelaki ditahan selepas dipercayai memecah masuk ke dalam sebuah gudang penyimpanan minuman di Bangunan Warehouse Saguking, di sini, 28 Jun lalu.

Dua suspek pertama ditahan Sabtu lalu manakala seorang lagi rakan mereka ditahan keesokkan harinya di Kampung Saguking, di sini.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Ahmad Jawila berkata, siasatan awal, ketiga-tiga suspek berusia 25 hingga 48 tahun berkenaan dipercayai pecah masuk gudang berkenaan sebelum melarikan pelbagai jenis minuman tin bernilai RM5,000.

Tiga suspek yang ditahan selepas memecah masuk gudang dan melarikan tujuh karton minuman tin.

Katanya, siasatan mendapati, kejadian pecah masuk itu dipercayai dilakukan sekumpulan enam individu yang dipercayai masuk ke gudang dengan cara merosakkan pagar jeriji keselamatan.

“Ketika ditahan, polis berjaya merampas semula tujuh karton minuman tin jenama Coca- Cola yang dilaporkan hilang manakala selebihnya dipercayai dijual dan diminum oleh kumpulan suspek.

“Usaha memburu tiga lagi suspek sedang giat dijalankan untuk membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Minuman yang ditemui susulan penahanan tiga lelaki, semalam.

Ahmad Jawila berkata, dua daripada tiga suspek yang ditangkap didapati positif dadah jenis syabu.

Manakala katanya, hasil semakan rekod kesalahan lampau terhadap kedua-dua suspek juga terdapat enam rekod kesalahan lampau mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesalahan tiada dokumen diri.

“Ketiga-tiga suspek direman sehingga 23 Julai depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|