Lelaki pukul isteri, anak berjaya ditahan

Lelaki pukul isteri, anak berjaya ditahan

Beaufort: Seorang lelaki yang dilaporkan menghilangkan diri selepas memukul isteri dan anaknya yang berusia setahun sejak tiga hari lalu, ditahan polis, hari ini.

Suspek ditahan kira-kira jam 2.30 pagi oleh sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, lelaki berusia 27 tahun itu ditahan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Batu 30, Kimanis, di sini.

Katanya, suspek akan ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK) kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 323 KK kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

“Mengikut siasatan sebelum ini, suspek dikatakan menampar pipi kanan isterinya sebelum mengugut bunuh dan mahu menggantung mangsa di rumah sewa mereka di Membakut Jaya, Pekan Membakut.

“Punca pertengkaran berlaku disebabkan anak lelaki mereka yang berusia setahun menangis sehingga menyebabkan saspek marah kerana terganggu ketika mahu tidur sebelum turut memukul anaknya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yusoff Zaki berkata, siasatan awal, suspek tidak mengaku ada menampar atau memukul dan tidak sedar sekiranya ada mengatakan mahu bunuh serta menggantung isterinya semasa berlaku pertengkaran antara mereka.

Katanya, siasatan turut mendapati suspek mempunyai kes jenayah lampau membabitkan Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

“Suspek turut didapati positif dadah jenis metaphetamine hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadapnya,” katanya.

-Deasoka

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|