7,944 terima vaksin di Parlimen Beluran

7,944 terima vaksin di Parlimen Beluran

Beluran: Seramai 7,944 individu menerima vaksin Covid-19 menerusi tiga Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di kawasan Parlimen Beluran, setakat ini.

Semua individu terbabit menerima vaksin berkenaan menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang dilaksanakan ketika ini.

Ahli Parlimennya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, tiga PPV itu adalah lokasi pemberian vaksin yang utama di Parlimen Beluran.

Ronald melawat PPV Dewan Serbaguna Pekan Beluran untuk melihat sendiri proses vaksinasi berkenaan.

“Hari ini saya melawat PPV yang sedang beroperasi di Dewan Serbaguna Pekan Beluran bagi melihat sendiri proses pemberian vaksin kepada penduduk setempat.

“Selain di sini, terdapat dua lagi lokasi PPV iaitu Dewan Kampung Kobambangan Paitan dan PPV di Dewan Institut Perhutanan Sabah, Telupid,” katanya selepas melawat PPV Dewan Serbaguna Pekan Beluran, hari ini.

Ronald berkata, program ini akan terus giat dilaksanakan bagi mencapai imuniti kelompok di seluruh negara.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) berkata, peningkatan kadar vaksinasi adalah antara indikator penting dalam menjayakan Pelan Pemulihan Negara.

Katanya, ia sekali gus akan membolehkan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial.

“Ini akan membantu kita beralih keluar secara berfasa dari kemelut pandemik Covid-19 kepada norma kehidupan pra pandemik,” katanya.

Sehubungan itu, Ronald menggesa orang ramai terus mendaftarkan diri untuk mendapatkan suntikan vaksin.

Katanya, ia penting sebagai langkah melindungi keselamatan diri, keluarga dan masyarakat secara keseluruhannya.

“Sokongan dan kerjasama penuh rakyat terhadap PICK adalah amat penting dalam usaha melandaikan lengkuk jangkitan Covid-19 agar kehidupan dapat kembali seperti sedia kala.

“Kerajaan mengambil pelbagai langkah untuk terus mempermudahkan orang ramai mendapatkan vaksinasi khususnya penduduk di luar bandar, kampung-kampung dan pedalaman yang menghadapi kesukaran untuk membuat pendaftaran dan menerima vaksin,” katanya.

-Deasoka

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|