Dua kertas siasatan dibuka

Dua kertas siasatan dibuka

Keningau: Polis membuka dua kertas siasatan berhubung kenyataan yang dikeluarkan seorang pemimpin politik berhubung isu penjualan kanak-kanak oleh ibu sendiri yang didakwa berlaku di keningau, baru baru ini.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, kenyataan media yang dikeluarkan oleh pemimpin politik pada 16 Jun lalu itu dilihat membangkitkan perasaan kegentaran awam dalam kalangan masyarakat.

“Susulan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan (menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam).

“Polis turut membuka satu lagi kertas siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian),” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Pada 16 Jun lalu, seorang pemimpin politik mengeluarkan kenyataan media yang menyatakan tiga beradik diselamatkan oleh PDRM dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Keningau di persempadanan Malaysia dan Indonesia, selepas cuba dijual oleh ibu kandung mereka.

Pada hari yang sama, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali turut mengeluarkan kenyataan bagi menafikan berlakunya kes penjualan anak atau pemerdagangan manusia di Keningau.

Bagaimanapun keesokannya, pemimpin politik itu sekali lagi mengeluarkan kenyataan balas bagi mempertahanan kenyataan awalnya dan menyatakan kejadian itu benar berlaku.

Mengulas lanjut perkara itu, Shahrudin berkata, kenyataan itu perlu diambil perhatian serius berikutan ia seolah-olah berlaku secara berleluasa tanpa ada kawalan pihak berkuasa.

Katanya, hasil siasatan juga mendapati tidak wujud sebarang isu penjualan anak atau sindiket pemerdagangan manusia dalam insiden berkenaan.

“Malah, ibu kanak-kanak terbabit juga sudah membuat satu laporan polis dan dengan tegas menafikan kedua-dua kenyataan pemimpin politik terbabit.

“PDRM sentiasa peka dan mengalu-alukan sebarang maklumat daripada orang awam berkaitan jenayah penyeludupan dan pemerdagangan manusia,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati masyarakat supaya isu ini tidak terus ditularkan tanpa merujuk kepada polis terlebih dahulu bagi menjaga ketenteraman awam khususnya di kawasan pedalaman.

-Deasoka

Share

Written by:

1,498 Posts

View All Posts
Follow Me :

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!