Kompaun bukan ikut sesuka hati: Pesuruhjaya Polis Sabah

Kompaun bukan ikut sesuka hati: Pesuruhjaya Polis Sabah

Kota Kinabalu: “Polis tidak mengeluarkan kompaun secara membabi buta tanpa sebarang pemeriksaan lanjut terhadap seorang pemandu e-hailing di Sekatan Jalan Raya (SJR) di Kinarut, di sini, 12 Jun lalu,”

Demikian tegas, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali yang menyatakan kedua-dua pemandu dan penumpang sebenarnya tidak mempunyai permit polis untuk merentasi sempadan antara daerah.

Katanya, walaupun mereka mempunyai surat kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) namun semua pengangkutan awam tidak dibenarkan merentasi sempadan.

“Semua pengangkutan awam tidak dibenarkan merentasi sempadan. Ini berdasarkan penguatkuasaan undang-undang yang ditetapkan kerajaan negeri. Bukan dibuat sesuka hati tanpa pemeriksaan lanjut.

“Tetapi kita akan teruskan siasatan lanjut berhubung dakwaan ini, sekiranya tidak benar, polis akan ambil tindakan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Batholomew Ak Umpit menafikan dakwaan pengeluaran kompaun terhadap pemandu Grab itu sebagai tidak sepatutnya.

Katanya, pemandu terbabit gagal menunjukkan dokumen relevan ketika cuba melepasi sekatan jalan berkenaan.

“Ketika kejadian, pemandu terbabit gagal memberikan sebarang dokumen berkaitan termasuk yang dikeluarkan Kementerian Pengangkutan mengikut Sistem Maklumat Industri Logistik kepada anggota polis di lokasi SJR.

“Disebabkan kegagalan memberikan dokumen diperlukan, anggota polis mengeluarkan kompaun terhadap pemandu itu dengan disaksikan dia pegawai di lokasi SJR,” katanya.

Batholomew berkata, orang ramai diingatkan supaya membawa dokumen diperlukan bagi merentasi sempadan mengikut kepada prosedur operasi standard (SOP) sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 atau berdepan tindakan.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang, Phoong Jin Zhe mengeluarkan kenyataan menerima aduan daripada pemandu berkenaan, hari ini.

Katanya, walaupun sudah menunjukkan pelbagai dokumen berkaitan diperlukan namun masih dikenakan kompaun sebanyak RM5,000.

-Deasoka

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|