SESB tangguh inisiatif kemaskini deposit pengguna

SESB tangguh inisiatif kemaskini deposit pengguna

Kota Kinabalu: Proses mengemaskini deposit pengguna yang sedang dilaksanakan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) sejak Mei lalu, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula akan ditangguh sementara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir Abdul Nasser Abdul Wahid berkata, setakat ini ia membabitkan kurang lapan peratus daripada jumlah pengguna SESB.

Katanya, jumlah itu mengambil kira pelbagai manfaat lain yang diberikan sebelum ini kepada pengguna.

“Antaranya ialah pemberian rebat faedah deposit kepada semua pengguna pada Mac dan April lalu serta pelan-pelan bantuan lain.

“Ia termasuk tiada pemotongan sehingga PKP 3.0 fasa 1 berakhir dan pelan bayaran balik mudah secara ansuran kepada yang memerlukan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Abdul Nasser berkata, akan tetapi ia mengambil kira penguatkuasaan PKP 3.0 beserta peranan SESB di dalam menjayakan Pelan Pemulihan Negara.

“Maka SESB akan menangguhkan proses kemaskini deposit berkenaan. Pelaksanaan mengemaskini deposit berkenaan yang dilakukan setiap enam bulan adalah proses yang dibuat mengikut Akta Bekalan Elektrik 1990.

“Pengiraan amaun cagaran dibuat secara automatik melalui sistem pembilan berdasarkan kepada penggunaan elektrik pengguna yang terkini dengan nilai bersamaan dua bulan,” katanya.

Dalam pada itu, Ir. Abdul Nasser turut menjelaskan bahawa SESB juga membuka ruang perbincangan dengan pengguna yang memerlukan pembayaran ansuran terhadap bil elektrik mereka berdasarkan kepada terma dan polisi yang ditetapkan oleh SESB.

-Deasoka

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|