Lelaki khayal gam nekad panjat jambatan setinggi 6 meter

Lelaki khayal gam nekad panjat jambatan setinggi 6 meter

Beaufort: Seorang lelaki yang dipercayai sedang khayal selepas menghidu gam nekad memanjat sebuah jambatan setinggi lebih enam meter dalam kejadian di pekan daerah ini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, lelaki berusia 20 tahun itu disedari sedang menaiki jambatan berkenaan oleh sepasukan polis yang sedang menjalankan Pematuhan dan Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun, sebaik diarahkan turun lelaki terbabit terus berdegil dan tidak mengendahkan arahan polis.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, selepas beberapa kali usaha memujuknya turun gagal, anggota bertugas terus menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mendapatkan bantuan menurunkan lelaki terbabit.

Katanya, sebaik berjaya dibawa turun, lelaki terbabit terus dibawa ke Balai Polis Beaufort untuk proses dokumentasi.

“Pemeriksaan tubuh badan dan beg sandang lelaki terbabit membawa kepada penemuan plastik dan 1 tin gam jenama jebsen.

“Lelaki terbabit terus ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 23 Kanun Prosedur Jenayan (KPJ),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.44 pagi.

Katanya, sepasukan sembilan anggota dan pegawai bersama sebuah jentera terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Setibanya pasukan bomba dilokasi kejadian, laporan didapati benar di mana terdapat seorang mangsa terperangkap di atas jambatan.

“Pasukan bomba seterusnya menyelamatkan mangsa menggunakan tangga sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Menurutnya, pasukan bomba kemudiannya membuat pemeriksaan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain di lokasi kejadian sebelum operasi ditamatkan pada jam 10.55 pagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|