Salah guna dokumen palsu dapatkan tender, tiga termasuk dua beradik mengaku salah

Salah guna dokumen palsu dapatkan tender, tiga termasuk dua beradik mengaku salah

Kota Kinabalu: Dua beradik antara tiga ahli perniagaan yang mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi mendapatkan tender di Mahkamah Khas Rasuah, Kota Kinabalu, hari ini.

Ketiga-tiga tertuduh, Noor Yussri Becklono, 27, dan abangnya, Mohd Zain, 45, serta tertuduh ketiga, Norafidah Palas, 37, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim, Abu Bakar Manat.

Mengikut kertas pertuduhan, pada 24 November 2016, ketiga-tiga tertuduh dengan niat bersama menggunakan penyata akaun bank palsu untuk dikemukakan kepada Jabatan Pendidikan Sabah, di Wisma Jabatan Pendidikan Sabah, di sini.

Penyata akaun itu digunakan untuk mendapatkan tender pembekalan bekalan makanan bermasak asrama sekolah di sebuah sekolah menengah di Kudat bagi tempoh 1 April hingga 31 Mac 2019.

Ketiga-tiga tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 Kanun yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara satu hari dan denda sebanyak RM24,000 kepada Noor Yussri Becklono manakala dua tertuduh lagi ditangguhkan hukuman sehingga 9 Disember depan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Norsham Saharom dan ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam, Pg Amli Naroufe Pg Nohin.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|