KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 42 tahun, ditemui mati di rumahnya, di Jalan Lintas, di sini, petang semalam.
Mangsa yang juga anak lelaki seorang ahli perniagaan terkemuka di negeri ini, ditemui di dalam bilik tidur oleh ahli keluarga sebelum membuat laporan polis kira-kira jam 6 petang.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, setakat ini siasatan masih diteruskan untuk mengenalpasti punca sebenar kematian mangsa.
Katanya, mayat mangsa sudah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk tindakan selanjutnya.
“Bagaimanapun, kita masih menunggu keputusan saringan Covid-19 sebelum proses seterusnya dapat dijalankan.
“Polis juga masih menunggu laporan bedah siasat bagi membantu siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Hazani berkata, siasatan awal juga mendapati, tiada sebarang unsur jenayah ditemui di tempat kejadian atau pada tubuh badan mangsa.
Katanya, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
– Deasoka