Lelaki ditemui lemas disyaki dibaham buaya

Lelaki ditemui lemas disyaki dibaham buaya

Lahad Datu: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu ditemui lemas di sungai Matamba, Silabukan, di sini, semalam.

Mayat mangsa yang dipercayai berusia 34 tahun itu ditemui oleh penduduk kampung sebelum memaklumkan kepada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu.

Difahamkan, ketika ditemui ada sebahagian anggota badan mangsa hilang disyaki dibaham buaya.

Ketua BBP Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima laporan mengenai bot karam jam 11.50 malam, Sabtu lalu dan operasi mencari dan menyelamat dilakukan keesokkan pagi.

Katanya, sepasukan bomba dan dibantu orang awam mula menjalankan gerakan mencari dan menyelamat sepanjang Sungai Matamba iaitu lokasi perahi mangsa ditemui terbalik.

Perahu mangsa yang ditemui terbalik di Sungai Matamba, Silabukan, Lahad Datu. (Gambar ihsan JBPM Sabah)

“Kawasan pencarian meliputi jarak sepanjang hampir 25 kilometer namun mangsa masih gagal ditemui.

“Gerakan mencari turut dibantu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) namun sekali lagi pencarian tidak menemui sebarang tanda positif mangsa akan ditemui,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pada jam 2.10 petang operasi ditangguh disebabkan cuaca yang tidak mengizikan dan bergerak ke balai bomba manakala penduduk kampung meneruskan pencarian.

“Pada jam 6.04 petang semalam, anggota PBS Silabukan menghubungi balai bomba dan memaklumkan mangsa sudah ditemui oleh orang kampung berdekatan dengan perahu mangsa yang ditemui terbalik.

“Susulan penemuan itu, anggota bomba ke lokasi dan mangsa terus diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi ditamatkan jam 7 malam,” katanya.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|