ATM terus komited membantu negara tangani penularan Covid-19

ATM terus komited membantu negara tangani penularan Covid-19

Labuan: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus komited membantu negara dalam menangani penularan wabak pandemik COVID-19 demi kesejahteraan rakyat Malaysia.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, berdasarkan situasi pandemik Covid-19 yang melanda negara, ATM sekali lagi meneruskan khidmat tugas sekundernya dalam menyediakan Hospital Medan ATM Ke-6 di Wilayah Persekutuan Labuan.

Katanya, ia selepas penubuhan Hospital Medan Ke-5 di Hospital Tuanku Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB).

“Kerjasama sepenuhnya diberikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Kesihatan WP Labuan, Perbadanan Labuan dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Labuan.

“Selain itu, usaha ini juga mendapat bantuan khas daripada Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Malaysian Medical Relief Society-MERCY Malaysia) bagi melaksanakan penubuhan hospital medan berkenaan yang ditempatkan di Dewan Perbandaran Labuan bagi merawat pesakit COVID-19 untuk kategori 3, 4 dan 5,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Hospital Medan ATM Labuan yang memulakan operasi pada Ahad lalu.

Affendi berkata, Hospital Medan ATM Labuan ini memulakan operasinya pada Ahad, 27 Jun lalu selepas selesai semua ujian operasi dan keselamatan.

Katanya, aturgerak anggota dan aset- aset ATM serta MERCY Malaysia bagi kerja-kerja pemasangan sudah dilaksanakan sejak
22 Jun 21 lalu.

“Turut dilakukan adalah kerja-kerja sivil, mekanikal dan elektrikal oleh JKR Labuan yang bermula pada 24 Jun lalu.

“Sebelum ini, kita juga sudah melaksanakan sesi ‘dry run’ dan latihan kebakaran bagi semua
petugas membabitkan pegawai dan anggota Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera (PKAT), Hospital Labuan, Jabatan Kesihatan WP Labuan, MERCY Malaysia, JKR WP
Labuan dan Perbadanan Labuan.

“Selain itu, sesi ini juga membabitkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM – Labuan), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM Labuan) dan beberapa pegawai serta anggota dari Pangkalan Udara TUDM Labuan,” katanya.

Affendi berkata, berdasarkan keupayaan semasa, ATM melalui PKAT telah menggerakkan beberapa peralatan hospital medan termasuk Kompleks Khemah Drash serta peralatan-peralatan perubatan dan bukan perubatan yang lain.

Katanya, tidak ketinggalan juga ahli Tim Teknikal Hospital Medan di samping Pakar Bius, Pakar Kecemasan, Pegawai Perubatan dan Anggota Perubatan Kor Kesihatan Diraja.

“Melalui bantuan MERCY Malaysia pula, Badan Bukan Kerajaan (NGO) berkenaan menyediakan sebahagian peralatan perubatan ICU yang di perlukan, unit khemah inflatable jenis ROFI, unit khemah utilis TM 36, 5 unit aircond 5.0 HP, tenaga sukarelawan kesihatan dan aset-aset logistik am.

“Mereka juga terbabit secara langsung di dalam mengendalikan latihan klinikal kepada petugas-petugas ATM dan KKM,” katanya.

Menurutnya, komitmen ATM ini serta kerjasama dengan pelbagai agensi lain akan diteruskan bagi memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia sentiasa dilindungi, seterusnya
membantu Negara dalam mengekang penularan wabak COVID-19 ini.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|