Lelaki ditemui lemas di Benoni

Lelaki ditemui lemas di Benoni

Papar: Mayat seorang lelaki yang hilang ketika terjun ke laut untuk menyelamatkan enjin sangkutnya petang semalam, ditemui terdampar di pesisir Sungai Benoni, pagi tadi.

Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa, Muhamad Hasyidan Haris, 27, bersama dua rakannya keluar memancing ikan menaiki bot kawasan di bagang di perairan Papar.

Menurut laporan, ketika menghampiri muara Sungai Benoni, di sini, enjin sangkut yang digunakan dikatakan terjatuh ke dalam laut menyebabkan mangsa terus terjun untuk mencari enjin sangkut berkenaan.

Bagaimanapun, mangsa tidak lagi muncul dipermukaan air dan dipercayai dihanyutkan arus deras sebelum dua rakannya bertindak menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Mohd Johainin Ruslan berkata, sebaik menerima maklumat kejadian pada jam 3.29 petang itu, sepasukan anggota dan pegawai bomba dikerah ke lokasi kejadian.

Katanya, setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati kejadian benar berlaku dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) terus dijalankan selepas menerima maklumat daripada rakan mangsa.

“Operasi SAR kemudian dijalankan dan anggota bertugas menurunkan bot untuk operasi atas air bagi mencari mangsa yang dikhuatiri lemas.

“Bagaimanapun, operasi mencari menggunakan bot di kawasan sekitar tempat kejadian yang dijalankan selama lebih sejam itu tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda keberadaan mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, operasi kemudiannya terpaksa ditangguhkan kira-kira jam 7 malam berikutan keadaan semakin gelap selain faktor keadaan air bergelora.

“Bagaimanapun, pada jam 6.20 pagi tadi, mangsa ditemui oleh orang awam dan pasukan bertugas terus bergegas ke lokasi.

“Mayat mangsa ditemui terdampar di pantai muara Jambatan Benoni iaitu kira-kira 500 meter dari lokasi mangsa menyelam,” katanya.

Mohd Johainin berkata, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|