Lebih 90 peratus warga PDRM lengkap terima vaksin

Lebih 90 peratus warga PDRM lengkap terima vaksin

Kota Kinabalu: Lebih 90 peratus warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara sudah lengkap menerima dua dos vaksin.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya menjangkakan pemberian vaksin kepada semua warga PDRM itu akan lengkap sepenuhnya dalam tempoh dua minggu.

Katanya, mengikut data terkini setakat 1 September lalu, hampir 90.1 peratus warga PDRM sudah menerima vaksin yang lengkap dos satu dan dua di seluruh negara.

“Untuk Sabah, ia sudah mencapai 89.9 peratus. Masih ada lagi berbaki 10 peratus yang masih belum menerima vaksin yang lengkap, bermaksud mereka sudah menerima vaksin yang pertama.

“Saya percaya dalam seminggu dua ini pemberian vaksin itu akan lengkap kepada semua warga PDRM,” katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Pesuruhjaya Polis Sabah, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.

Acryl berkata, tidak dinafikan ada beberapa warga PDRM sebelum ini yang enggan menerima vaksin.

Bagaimanapun katanya, selepas diberi penerangan mengenai pentingnya semua mereka sudah mendapatkan suntikan vaksin.

“Setakat ini ada juga maklumat beberapa anggota yang pada mulanya enggan untuk menerima vaksin atas sebab mungkin terpengaruh dengan bahan bacaan.

“Namun demikian selepas kita telah memanggil mereka dan memberi penerangan lengkap dan kaunseling dan mereka kemudiannya mahu menerima vaksin ditetapkan Kementerian Kesihatan.

“Ada pun yang tidak dapat menerima vaksin tetapi adalah atas sebab-sebab kesihatan yang disahkan Kementerian Kesihatan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|