PDRM sentiasa kekalkan kesiapsiagaan berdepan ancaman perairan

PDRM sentiasa kekalkan kesiapsiagaan berdepan ancaman perairan

Kota Kinabalu: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa bersiap siaga untuk berdepan ancaman dan cabaran yang mungkin berlaku hampir setiap hari di perairan negara.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kesiapsiagaan itu membabitkan pemantapkan tindakan dan operasi dari semasa ke semasa untuk mengekalkan ketenteraman serta keselamatan negara.

Katanya, ia juga membabitkan kawalan kemasukan warga asing serta penyeludupan barang terlarang sekaligus menghalang penularan wabak Covid-19.

“Ia adalah satu tindakan ataupun operasi yang berterusan sehinggalah suasana dapat dikawal sepenuhnya.

“Sepertimana sedia maklum ia bukan saja pantai timur Sabah, bahkan juga di sempadan utara semenanjung Malaysia, pantai Johor dan begitu juga di sepanjang sempadan Sarawak-Kalimantan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Pesuruhjaya Polis Sabah, di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Acryl berkata, kesiapsagaan yang dikekalkan adalah berdasarkan kepada sumber tenaga manusia dan kekuatan dari aspek aset yang perlu digerak atur bagi berdepan cabaran ancaman berkenaan.

Katanya, perkara itu amat mencabar namun PDRM sentiasa meningkatkan keupayaan dari semasa ke semasa.

“Untuk perancang akan datang, Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga bersetuju untuk memberikan fokus kepada peningkatan aset berteknologi tinggi bagi membantu pihak berkuasa melaksanakan tugas dengan lebih berkesan.

“Dalam usaha untuk mengesan dan mengekang pergerakan yang tidak sepatutnya berlaku di kawasan sempadan, kita memerlukan penggunaan aset seperti dron dan kamera malam.

“Ia juga termasuk aset fizikal dan bukan fizik termasuk kapal, boy dan kenderaan-kenderaan darat,” katanya.

Sementara itu, Acryl berkata, penerimaan aset kembali dua aset daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) alan memantapkan lagi penguatkuasaan khususnya di perairan pantai timur Sabah.

“Aset ini sangat mustahak kerana ia adalah sebuah bot besar sepanjang 36 meter dan mampu beroperasi dalam tempoh yang lama di laut serta di kawasan luar pantai.

“Ini akan memberikan kelebihan dan menjadikan pasukan polis sentiasa berada di barisan hadapan dengan pasukan tindak cepat sekiranya berlaku pencerobohan pihak pihak luar,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|