Ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) dalam radar PDRM

Ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) dalam radar PDRM

Kota Kinabalu: Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih mengumpul maklumat berkenaan seorang wanita yang menggunakan gelaran Sittah Annur didakwa mula mengembangkan ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) dipercayai bertentangan dengan ajaran Islam Sebenar.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya sedar akan gerakan-gerakan seperti ini dan ia bukan perkara baru.

Katanya, siasatan perlu diteliti dan akan mengumpul segala maklumat selengkap-lengkapnya apakah ajaran yang mereka bawa kerana ia membabitkan jabatan lain.

“Saya lihat benda (ajaran PMYT) ini masih lagi dalam kawalan dan kita kalau ambil tindakan seperti ini tidak boleh tergesa – gesa dan tidak terburu-buru.

“Kita harus mengumpul segala maklumat selengkap-lengkapnya kerana ia membabitkan jabatan lain iaitu Jabatan Agam Islam. kita harus mendapatkan juga nasihat dan pandangan mereka,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pesuruhjaya Polis Sabah, di Auditorium, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan Metro Ahad berhubung seorang wanita yang menggunakan gelaran Sittah Annur dan mendakwa kononnya akan berlaku Perang Dunia Ketiga bermula di Sabah serta memimpin pasukannya bagi mencari Imam Mahdi untuk melawan musuh.

Mengulas lanjut Acryl Sani berkata, pihaknya juga dalam perancangan akan memanggil individu yang berkenaan.

“Sabar sedikit dan kita ada cara kita untuk menghadapi perkara ini. Dahulu pun kita berhadapan dengan perkara sama dan kita berjaya mengetasinya.

“Jadi kita ada teknik, ada cara, ada kaedah yang kita laksanakan dalam hal ini. Percayalah kita tidak leka dan kita sentiasa memastikan bahawa ia tidak sampai menimbulkan kerisauan dan keresahan di kalangan masyarakat umum.

Dalam perkembangan lanjut, beliau menyatakan tiada terima maklumat mengenai dakwaan ajaran mengatakan bahawa Perang Dunia Ketiga akan berlaku di Sabah.

Sementara itu, ditanya mengenai pengikut ajaran PMYT ada kalangan unit beruniform, Acryl Sani berkata, pihaknya akan teliti dan semak perkara berkenaan.

“Jika betul, kita akan kenal pasti mereka yang terbabit dan tindakan akan diambil segera.

“Dalam proses kita menyiasat dan kita akan maklumkan hasilnya setelah segala perkara selesai,” katanya.

Terdahulu, Acryl menyaksikan penyerahan tugas Pesuruhjaya Polis Sabah yang baharu, Datuk Idris Abdullah daripada Datuk Hazani Ghazali yang ditukarkan ke Bukit Aman sebagai Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA).

Semalam, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengarahkan PDRM untuk mengambil tindakan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) kepada mana-mana individu yang cuba menimbulkan kegusaran, menakut-nakutkan dan menganggu ketenteraman awam.

Sebelum itu juga, sebuah akhbar tempatan melaporkan, seorang wanita berusia 39 tahun yang menggunakan gelaran Sittah Annur didakwa mula mengembangkan ajaran PMYT yang dipercayai bertentangan dengan ajaran Islam sebenar.

Wanita berasal dari Kelantan dan menetap di Shah Alam itu dikesan sejak enam bulan lalu menggunakan media sosial seperti Facebook (FB), YouTube dan Telegram untuk berkongsi pelbagai ramalan termasuk Perang Dunia Ketiga kononnya berlaku di Sabah sebelum dia memimpin pasukannya untuk mencari Imam Mahdi bagi melawan musuh.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|