Lebih 300kg sampah dipungut tempoh sejam

Lebih 300kg sampah dipungut tempoh sejam

Kota Kinabalu: Lebih 300 kilogram (kg) sampah berjaya dikumpul selama satu jam aktiviti gotong royong diadakan bersama agensi kerajaan negeri dan Persekutuan di Pantai Tanjung Aru, di sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah, Amirul Aripin berkata, program gotong royong itu bertujuan untuk memupuk komuniti untuk bersama-sama menjaga kelestarian alam sekitar.

Amirul ketika ditemui selepas program gotong royong di Pantai Tanjung Aru, Kota Kinabalu.

“Hari ini kita bersama pelbagai agensi termasuk Jabatan Perlindungan Alam Sekitar, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan gotong royong bersama-sama untuk membuat kerja pembersihan di pantai ini.

“Setakat pagi ini, sebanyak 316 kg sampah berjaya dikutip di sebahagian Pantai Tanjung Aru dan ini petanda supaya kita melipatgandakan usaha untuk memberi kesedaran kepada orang ramai berhubung tabiat membuang sampah di merata tempat,” katanya ketika ditemui selepas gotong royong Jalan-Jalan Pungut Sampah, di sini, hari ini.

Katanya lagi, sampah yang berjaya dikumpulkan itu akan diuruskan dengan betul di tapak pelupusan sampah di Kayu Madang, di sini.

Diminta mengulas lanjut berhubung program itu, Amirul berkata, pihaknya dalam perancangan untuk meneruskan program terbabit di kawasan lain terutama yang menjadi tumpuan pelancong.

“Kita memang sudah ada perancangan untuk program seterusnya pada tahun 2022 dan kita akan sasarkan kawasan yang mempunyai masalah.

“Kita akan pertingkatkan program seumpama ini dengan lebih berkesan dengan kerjasama daripada orang ramai serta NGO lain. Kita mempunyai perancangan untuk dilakukan di tempat menarik terutama di kawasan pantai dan air terjun yang menjadi pusat pelancongan di Sabah,” katanya.

Tambahnya lagi, Sabah kaya dengan biodiversiti dan banyak tempat pelancongan yang menjadi tarikan bagi pelancong luar dan dalam negara.

“Jadi kita harus kekalkannya dengan menjaga alam sekitar yang ada,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|