160 peserta sahut cabaran MTB di Kiau Taburi

160 peserta sahut cabaran MTB di Kiau Taburi

Kota Belud: Seramai 160 peserta menyertai Cabaran Fun Ride Mountain Bike (MTB) yang diadakan di Kampung Kiau Taburi, di sini, semalam.

Pertandingan yang bertemakan ‘The Lost World of Kiau Taburi’, cabaran itu adalah acara sukan pertama di negeri ini selepas aktiviti pelancongan sukan terhenti hampir dua tahun akibat pandemik Covid-19.

Julinus menyampaikan hadiah kepada pemenang acara MTB yang diadakan di Kampung Kiau Taburi, semalam.

Cabaran MTB berkenaan dianjurkan komuniti kampung dan disokong penuh Kementerian Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar Negeri (KePKAS) serta Lembaga Pelancongan Sabah (STB).

Timbalan Pengurus Besar STB, Julinus Jimit, berkata, Cabaran MTB kali ini adalah salah satu acara sukan yang dinanti-nantikan selepas pergerakan rentas daerah dibenarkan.

Acara MTB ini dijangka mampu menarik lebih ramai orang tempatan dan luar negeri untuk menerokai kawasan luar bandar selain membantu mempromosikan kraftangan, makanan tradisional dan budaya tempatan.

Katanya, acara seperti ini mampu menambah nilai dan mempromosikan aktiviti pelancongan luar bandar dengan penyertaan komuniti kampung.

“Ini adalah antara matlamat kerajaan negeri dan KePKAS untuk membangunkan pelancongan desa.

“KePKAS dan STB akan terus menyokong acara ini untuk diadakan semula pada tahun-tahun akan datang,” katanya pada majlis perasmian dan penutupan Cabaran MTB, semalam.

Julinus hadir di Kampung Kiau Taburi bagi mewakili Pembantu Menteri KePKAS merangkap pengerusi STB, Datuk Joniston Bangkuai.

Turut hadir pada majlis itu Penolong Pegawai Daerah Kota Belud, Abdul Wahab Sidek; Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kadamaian, Denis Rumanti; dan ketua masyarakat Kampung Kiau Taburi, Kampung Kiau Nuluh, serta Kampung Kiau Bersatu.

Julinus berkata, pihaknya berharap untuk melihat lebih ramai penyertaan terutamanya dari negeri lain dan luar negara dalam acara akan datang.

“Dengan sempadan antarabangsa dijangka dibuka semula tahun depan, kita juga harus bersedia untuk mengalu-alukan penyertaan dari negara lain dalam acara sukan kita.

“Pada masa yang sama, komuniti kampung perlu mengambil peluang dengan menggunakan acara sukan seperti Cabaran MTB atau acara pelancongan lain untuk mempromosikan kraftangan, makanan tradisional dan budaya masing-masing bagi merancakkan lagi pelancongan desa,” kata Julinus.

Sementara itu, Ketua Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Timothy Sagun, berkata, cabaran MTB diadakan bagi mempromosikan Kampung Kiau Taburi sebagai destinasi eko-pelancongan dan menggiatkan semula aktiviti pelancongan berasaskan komuniti.

Katanya, semua pihak harus menzahirkan terima kasih kepada Joniston atas sokongan kewangan melalui STB bagi menjayakan cara seperti ini.

Sebanyak empat kategori dipertandingkan dalam Cabaran MTB iaitu Terbuka Lelaki (13-28 Tahun), Terbuka Lelaki (29-39 Tahun), Lelaki Veteran (40 Tahun Keatas), dan Terbuka Wanita.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|