Tolonglah jangan tinggalkan sampah ditempat awam!

Tolonglah jangan tinggalkan sampah ditempat awam!

Kota Kinabalu: Kurang kesedaran dalam komuniti mengenai pengurusan sampah menyebabkan masih ada yang membuang sampah di merata tempat terutama di tempat beriadah di sekitar bandar raya ini.

Tinjauan di sekitar Pantai Tanjung Aru mendapati, selain sampah dari laut, sampah yang ditinggalkan oleh pengunjung antara penyebab pesisir pantai kawasan berkenaan menjadi kotor.

Jeanifer (depan) bersama Rohaitah (kanan) antara sukarelawan yang datang membuat pembersihan di Pantai Tanjung Aru Kota Kinabalu.

Ainie Jamin, 48, seorang sukarelawan yang datang membuat pembersihan di pantai berkenaan berkata, kesedaran orang awam berhubung pembersihan alam sekitar terutama pembuangan sampah di merata tempat dapat dilihat apabila banyak sampah berjaya dipungutnya.

“Sebab itu saya selalu buat kerja sukarelawan untuk memberi kesedaran kepada orang awam dengan mengajak mereka menjaga alam sekitar dan memungut sampah di lokasi yang menjadi tumpuan orang awam.

“Untuk hari ini, saya menyertai program bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah untuk bersama-sama mereka membuat pembersihan di pantai ini,” katanya ketika ditemui selepas gotong royong Jalan-Jalan Pungut Sampah, di Pantai Tanjung Aru, di sini, hari ini.

Seorang lagi sukarelawan, Jeanifer Djopirin, 19, berkata, jangan biarkan sampah berada di merata tempat biarpun ia hanya cebisan plastik kerana ia memberi kesan yang besar kepada alam sekitar terutama hidupan di laut.

“Sekecil-kecil sampah harus dipungut dan dibuang dengan betul supaya tidak memberi kesan kepada hidupan laut.

“Saya lihat ada juga orang yang datang beriadah pantai meninggalkan sampah mereka di merata tempat. Jadi saya harap mereka tidak lagi berbuat demikian dan bawa sampah masing-masing serta buang di tempat yang betul,” katanya.

Rohaitah Johnny, 19, pula berkata, dia mahu kesedaran menjaga alam sekitar ini dapat diperluaskan kepada umum terutama mereka yang datang berkunjung ke tempat yang dijadikan lokasi beriadah.

Katanya, komunikasi dan kerjasama adalah perkara penting untuk kita sampaikan kepada orang ramai.

“Bagi masalah sampah yang kita hadapi di kawasan pantai ini, kita lihat tidak diambil kira oleh pengunjung sebab mereka mengharap akan ada yang ambil alih membersihkan sampah.

“Jadi sebab itu kita turun membersihkan sampah di sini disamping mengajak komuniti untuk ikut serta membuat pembersihan bersama-sama,” katanya.

Katanya lagi, menerusi gotong royong seperti ini mereka dapat belajar dan memberi tunjuk ajar kepada orang ramai supaya mengambil tanggungjawab untuk menjaga alam sekitar dan sekali gus mengurus sampah berkenaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|