Layan ‘online game’ punca kluster di Beaufort

Layan ‘online game’ punca kluster di Beaufort

Kota Kinabalu: Kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) semasa aktiviti permainan atas talian dalam kalangan belia telah mencetuskan kluster terbaru di Sabah, hari ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata kluster yang dikenali sebagai Kluster Lumadan, Beaufort itu melibatkan penularan jangkitan dalam kalangan ahli keluarga dan rakan sekerja dari pelbagai lokaliti berbeza di sekitar Mukim Lumadan.

“Kes indeks adalah lelaki berumur 19 tahun disahkan positif COVID-19 melalui ujian RTK-Ag 100 peratus di Klinik Subha Beaufort pada 29 Jun, selepas bergejala demam dan batuk sejak 24 Jun.

“Hasil saringan kontak rapat, sembilan ahli keluarga dan jiran didapati positif. Berdasarkan siasatan, kegagalan mematuhi SOP dan penjarakan fizikal semasa aktiviti permainan atas talian (online gaming) dalam kalangan belia dikenal pasti menjadi punca penularan,” katanya.

Daripada 110 saringan yang dilakukan bermula 29 Jun hingga 8 Julai, terdapat 46 kes positif Covid-19 telah dikesan.

Satu lagi kluster baru yang dikesan adalah Kluster Istimewa Dua yang melibatkan jangkitan dalam komuniti di lokaliti Kg. Istimewa, Sandakan.

Jelas beliau, Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan sebelum ini pernah melaporkan kejadian kluster di kampung yang sama pada 14 November lalu.

“Pada kali ini, kes indeks merupakan lelaki, 48 tahun, dikesan positif COVID-19 hasil saringan bergejala pada 25 Jun di Klinik Kesihatan Sandakan.

“Saringan yang dijalankan terhadap 261 kontak mendapati 27 orang disahkan positif termasuk dua kes baharu, sementara 229 orang didapati negatif dan lima orang lagi masih menunggu keputusan,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Masidi yang juga merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata sebanyak 279 kes positif Covid-19 dilaporkan hari ini.

Manakala, tiga kes kematian direkodkan hari ini, daripada daerah Semporna, Lahad Datu dan Beaufort.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|