Kota Kinabalu: Latihan mantap dan berterusan cukup penting dalam memastikan operasi menyelamat membabitkan pengurusan dan pengendalian pesakit melalui pesawat udara dilaksanakan dengan jayanya.
Justeru, Pasukan Gerakan Udara (PGU) Pangkalan Sabah terus meningkatkan Latihan Operasi dan Menyelamat melalui Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) Fasa Dua.
Komander PGU Pangkalan Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Lokman Abdul Hadi berkata, kaedah-kaedah dan SOP menyelamat membabitkan pesawat helikoter Agustawesland AW139 dilaksanakan melalui LDP Fasa Dua.
Katanya, sepanjang LDP dilaksanakan, ia memfokuskan terhadap penekanan aspek keselamatan membabitkan pesakit dan juga kepada pemberi bantuan yang perlu dititik berat.
“Ini termasuklah cara pengendalian membawa pengusung yang disediakan untuk menggangkat.
“Selain itu juga kaedah untuk membawa masuk dan keluar pesakit daripada pesawat,” katanya ketika berucap merasmikan LDP, semalam.
Katanya, LDP ini turut memberi pendedahan mengenai bahasa isyarat tangan yang diberikan oleh juruterbang dan krew penerbangan semasa menghampiri dan memasuki pesawat helikopter.
“Selain itu, latihan ini bertujuan meningkatkan lagi kemahiran dan persefahaman semua petugas sewaktu mengendali mangsa sekiranya berlaku bencana,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, Program Pengurusan dan Pengendalian Pesakit Dengan Pesawat Udara adalah LDP Fasa 2 dibuat sebagai persiapan Search And Rescue Exercise (SAREX) yang dijadualkan pada November dan Disember nanti.
Katanya, agensi yang terbabit di dalam kolaborasi ini terdiri daripada Tiger Platoon Pasukan Gerakan Am (PGA), Hospital Wanita Dan Kanak-Kanak (HWKK) Likas, Ranger Taman-Taman Sabah, dan juga Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah.
-Deasoka