Lari tinggalkan bot

Lari tinggalkan bot

Kudat: Pemantauan berterusan Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya mengesan sebuah bot pam yang melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan di perairan Pulau Banggi, hari ini.

Pegawai Pemerintah PPM Kudat, Asisten Superintendan Cyrill Douglas berkata, kegiatan itu dikesan pasukan PPM Kudat yang melakukan rondaan biasa di kawasan perairan berkenaan.

Katanya, sebaik mengesan bot pam dalam keadaan mencurigakan, pasukan operasi terus menghampiri bot berkenaan yang dinaiki seorang lelaki.

“Bagaimanapun, suspek yang dipercayai menyedari kehadiran polis terus melarikan diri ke kawasan cetek sebelum meninggalkan bot berkenaan.

“Hasil pemeriksaan di dalam ruang perahu menemukan pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk mengebom ikan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Cyrill berkata, semua peralatan dan hasil laut yang dirampas dianggarkan bernilai RM6,615 berdasarkan harga pasaran semasa.

Katanya, semua barang rampasan kemudiannya dibawa ke Markas Operasi PPM Kudat untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya.

Sehubungan itu, Cyrill berkata, PPM Wilayah Empat Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian 24 jam.

Katanya, sebarang maklumat boleh disalurkan menerusi aplikasi whatsapp ke Pusat Kawalan PPM Wilayah Empat Sabah di talian 0139391197.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|