Cubaan seludup tong gas dipatahkan

Cubaan seludup tong gas dipatahkan

Tawau: Cubaan seorang lelaki menyeludup keluar tong gas dipercayai untuk diseludup ke negara jiran berjaya dipatahkan Pasukan Polis Marin (PPM), semalam.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, pasukan operasi berjaya menahan seorang lelaki dan merampas beberapa tong gas di kawasan sebuah kampung, di sini.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Tawau, Deputi Superintendan Ridzauddin Selamat berkata, ketika dikesan, pasukan operasi mengesan suspek sedang memunggah tong gas dari sebuah kenderaan ke dalam sebuah perahu.

Katanya, sebaik ditahan, suspek gagal menunjukkan surat kebenaran untuk membawa barangan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, suspek tidak mempunyai permit kebenaran daripada Kementerian Pedagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Suspek dan kenderaan serta semua tong gas berkenaan kemudiannya ditahan dan dibawa ke Markas Operasi PPM Tawau untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ridzauddin berkata, semua barang rampasan dianggarkan bernilai RM43,701.20 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sehubungan itu, Ridzauddin berkata, PPM Wilayah Empat Sabah menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat menerusi aplikasi whatsApp di talian 013-9391197.

Katanya, maklumat juga boleh disalurkan dengan berhubung terus ke Bilik Gerakan PPM Tawau di talian 089-983268.

“Ia bagi memastikan semua kesalahan yang melanggari undang-undang negara dapat dibendung seterusnya mengekalkan keamanan dan keselamatan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|