Lapan ekor burung serindit dirampas dalam OBK

Lapan ekor burung serindit dirampas dalam OBK

Kota Marudu: Sebanyak lapan ekor Burung Serindit dirampas dalam Op Bersepadu Khazanah (OBK) yang dijalankan di Kampung Simpang 3, Pitas, di sini, kelmarin.

Operasi jam 11.45 pagi itu turut disertai Jabatan Perhutanan Sabah dan Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF).

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, ketika rondaan dilakukan, pasukan operasi menemui dua sangkar burung mengandungi lapan ekor burung Serindit.

Katanya, burung Serindit diklasifikasikan sebagai haiwan dilindungi dalam Jadual Kelas Kedua mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

“Pegawai operasi kemudiannya mengambil keterangan diri pemilik sangkar burung untuk membantu siasatan lanjut.

“Semua burung Serindit berkenaan seterusnya dirampas kerana pemilik tidak mempunyai sebarang permit yang sah untuk memilikinya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Abduh berkata, semua burung yang dirampas dianggarkan bernilai RM1,600 dan akan diserahkan mepada Jabatan Hidupan Liar Sabah untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, pemilik sangkar burung juga dikenakan kompaun dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (2) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|