Lajim ahli politik berpengalaman – Muhyiddin Yassin

Lajim ahli politik berpengalaman – Muhyiddin Yassin

Kota Kinabalu: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengganggap Datuk Seri Lajim Ukin yang meninggal dunia akibat Covid-19 pagi tadi sebagai seorang ahli politik berpengalaman.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), berkata Lajim juga banyak berjasa dalam mencorakkan halatuju BERSATU.

Katanya, jasa beliau kepada BERSATU amat dihargai oleh kepemimpinan dan ahli parti berkenaan.

“Saya mendapat perkhabaran mendukacitakan yang Ybhg Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin, Pengerusi Eksekutif Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) telah kembali ke Rahmatullah pagi tadi.

“Saya dan keluarga mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham atas pemergian orang yang tersayang. Semoga tabah melalui saat yang mendukacitakan ini.

“ebagai Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Malaysia (BERSATU), Allahyarham adalah seorang sahabat dan rakan seperjuangan yang saya kenali sejak sekian lama serta pernah bersama-sama berkhidmat dalam Kerajaan sebelum ini.

“Allahyarham merupakan seorang ahli politik berpengalaman yang banyak berjasa dalam mencorakkan hala tuju BERSATU, jasa yang saya dan seluruh kepimpinan dan ahli BERSATU amat-amat hargai sehingga kini. Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan buat saya,” katanya dalam perkongsian di Facebook beliau, hari ini.

Muhyiddin berkata, beliau mewakili BERSATU dan Perikatan Nasional (PN), merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas jasa bakti Allahyarham sepanjang bergelar Ahli Majlis Tertinggi dan selaku Pengerusi Eksekutif AIM.

“Sama-samalah kita sedekahkan Al-Fatihah. Semoga amalan baik Allahyarham mendapat ganjaran dari Allah SWT dan rohnya ditempatkan bersama orang beriman dan beramal soleh. Amin,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|