PM sifatkan pemergian Lajim sebagai satu kehilangan kepada negara

PM sifatkan pemergian Lajim sebagai satu kehilangan kepada negara

Kota Kinabalu: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan pemergian Datuk Seri Lajim Ukin sebagai satu kehilangan kepada negara.

Dalam perkongsian di laman Facebokk beliau, Ismail Sabri berkata Lajim juga pernah memberi khidmat kepada kerajaan persekutuan ketika menjadi Ahli Parlimen Beaufort, sebelum ini.

“Salam takziah buat isteri dan ahli keluarga Allahyarham Datuk Seri Panglima Haji Lajim Ukin yang telah menghembuskan nafas terakhirnya pada pagi ini di Hospital Pakar KPJ, Sabah.

“Sebagai Pengerusi Eksekutif Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) malah pernah berkhidmat sebagai wakil rakyat di Parlimen Beaufort dan DUN Klias, pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan kepada negara.

“Allahyarham semasa hayatnya juga pernah memegang beberapa jawatan penting dalam Kabinet Persekutuan antaranya sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Semoga segala khidmat bakti Allahyarham mendapat ganjaran yang sebaik-baiknya daripada Allah SWT dan semoga rohnya ditempatkan bersama para solihin. Al-Fatihah,” katanya.

Lajim dilaporkan meninggal dunia pada jam 6.23 pagi tadi dan sudah dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Kaundo, Kebatu, Beaufort untuk dikebumikan, hari ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|