Lagi rumah atas air di Tanjung Aru terbakar

Lagi rumah atas air di Tanjung Aru terbakar

Kota Kinabalu: Lagi kebakaran berlaku di penempatan atas air di Tanjung Aru Baru, di sini, membabitkan lebih 15 rumah yang musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

Kebakaran dipercayai bermula dari sebuah rumah, jam 4.20 pagi sebelum merebak dan memusnahkan rumah lain berikutan kedudukan rumah yang rapat antara satu sama lain.

Selain itu, lima kenderaan milik penghuni di kampung berkenaan turut musnah selepas gagal diselamatkan.

Rumah mangsa yang musnah dalam kebakaran di Tanjung Aru, Kota Kinabalu, pagi tadi.

Bagaimanapun tiada mangsa dilaporkan cedera atau kehilangan nyawa apabila penghuni sempat menyelamatkan diri.

Ketua Zon I Kota Kinabalu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penguasa Kanan Bomba Hamsa Isnurdini berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.32 pagi.

Katanya, sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu dan Penampang dikerah ke lokasi kejadian sebelum tiba lima minit kemudian.

Bomba sedang memadamkan api kebakaran di lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, api didapati sedang marak sehingga memusnahkan 15 rumah berstruktur kayu atas air.

“Pasukan bomba yang turut dibantu penduduk kampung berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak dan menyelamatkan sebahagian lagi rumah berdekatan,” katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran berkenaan.

Hamsa berkata, api dikawal pada 5.49 pagi dan operasi memadamkan saki baki api kebakaran masih berjalan.

Kelihatan api marak yang memusnahkan salah sebuah rumah dalam kejadian kebakaran itu.

Katanya, api merebak terlalu cepat kerana struktur rumah yang dibina daripada kayu dan berdekatan satu dengan lain.

“Tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih disiasat Unit Forensik Kebakaran,” katanya.

Operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam (APM), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Kejadian kebakaran di penempatan rumah atas air di Tanjung Aru adalah yang ketiga.

Kejadian pertama pada 25 Mei lalu, sebanyak 25 rumah musnah dalam kebakaran dan kejadian kedua pada 6 Julai lalu membabitkan 10 rumah musnah terbakar.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|