Sabah tidak benarkan ziarah kubur, rumah terbuka pada Aidiladha: Masidi

Sabah tidak benarkan ziarah kubur, rumah terbuka pada Aidiladha: Masidi

Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri Sabah memutuskan untuk tidak membenarkan sebarang aktiviti rumah terbuka, jamuan, kunjung mengunjung dan ziarah tanah perkuburan bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha pada 20 Julai hadapan.

Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, langkah itu diambil dalam usaha membendung penularan dan peningkatan kes positif di seluruh negeri.

Untuk rekod, jumlah kes positif Covid-19 di Sabah meningkat dengan sebanyak 647 kes pada hari ini berbanding 326 kes pada semalam.

“Selain daripada aktiviti seperti rumah terbuka, jamuan dan ziarah tanah perkuburan yang tidak dibenarkan untuk sambutan Aidiladha kali ini, beberapa prosedur operasi standart (SOP) turut ditetapkan bagi perayaan tersebut.

“Di antaranya adalah bilangan jemaah di masjid atau surau bagi solat sunat Aidiladha, solat Jumaat dan solat lima waktu adalah dikurangkan kepada satu pertiga kapasiti atau maksima 30 orang jemaah yang mana lebih rendah.

“Manakala bagi pengendali sembelihan binatang korban pula dikurangkan kepada hanya 15 orang sahaja,”katanya.

Tambah beliau, semua aktiviti perayaan Aidiladha di lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) adalah tidak dibenarkan sama sekali.

“Pindaan SOP ini adalah bersifat sementara sehingga kes-kes harian Covid-19 kembali stabil,” katanya.

Sementara itu mengulas mengenai jumlah peningkatan ketara kes Covid di Sabah, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri itu berkata, terdapat beberapa faktor mengakibatkan perkara berkenaan.

“Sabah merekodkan sejumlah 647 kes pada hari ini iaitu peningkatan sebanyak 321 kes.

“647 kes yang direkodkan ini adalah hasil daripada Saringan Kluster 287 kes (44.4 peratus), Saringan Kontak Rapat 220 kes (34 peratus) Saringan Bersasar 63 kes (9.7peratus), Saringan Bergejala 47 kes (7.3 peratus) dan Lain-lain saringan 30 kes (4.6 peratus).

“Daerah Kota Kinabalu merekodkan kes tertinggi dengan jumlah kes baharu sebanyak 312 kes pada hari ini dengan jumlah tersebut Kluster Tembok Kota Kinabalu (Penjara Kepayan) menyumbang 204 kes,”katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, jumlah catatan kes positif pada hari ini juga dipengaruhi oleh angka yang berpunca dari Saringan Kontak Rapat sebanyak 220 kes atau 34 peratus daripada kumulatif kes harian di Sabah melibatkan Tawau (58) kes dan Kota Kinabalu (48) kes mencatatkan kes yang tinggi dalam kategori ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|