Kurang bekalan, pam rosak, punca gangguan air yang serius di Sepanggar

Kurang bekalan, pam rosak, punca gangguan air yang serius di Sepanggar

Kota Kinabalu: Kekurangan bekalan air sedia ada selain ditambah kerosakan dua pam air di Loji Telibong 1, Tamparuli punca utama menyebabkan gangguan bekalan air yang serius kepada lebih 30,000 pengguna berdaftar di beberapa kawasan perumahan di sekitar Sepanggar ketika ini.

Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Ir Edward Lingkapo, menjelaskan dua pam di loji rawatan air (LRA) yang dikendalikan syarikat konsesi Jetama Sdn Bhd itu mengalami kerosakan sejak 6 November lalu selepas terbakar disebabkan bekalan elektrik tidak stabil.

Pengarah JANS, Ir Edward Lingkapo ketika sidang media khas isu gangguan bekalan air, di Kota Kinabalu.

Katanya, pada awalnya hanya sebuah pam rosak, namun setelah pam terbabit dibaiki, satu lagi pam terbakar seminggu selepas itu menyebabkan kedua-dua pam tidak dapat berfungsi sekali gus menjejaskan pengeluaran air di loji berkenaan.

“Disebabkan kerosakan berkenaan, bekalan air merosot kira-kira 10 juta liter sehari (MLD), ditambah lagi dengan kekurangan bekalan sedia ada yang dianggarkan 10 MLD, menyebabkan secara keseluruhan bekalan air di Sepanggar dan Tuaran ketika ini merosot sebanyak 20 MLD.

“Ia antara punca utama gangguan bekalan air yang kritikal terutama di beberapa perumahan besar seperti Universiti Utama Condominium (UUC) dan Universiti Condo Apartment (UCA 2),” katanya pada sidang media khas isu gangguan bekalan air, di sini, hari ini.

Katanya, selain catuan sedia ada yang sedang dilaksanakan di kawasan yang terjejas, penghantaran bekalan air secara percuma juga dilaksanakan syarikat konsesi yang beroperasi 24 jam sehari adalah antara langkah sementara bagi mengurangkan bebanan pengguna.

Penghantaran air yang bermula sejak 8 November lalu, katanya ditumpukan di kawasan paling terjejas dengan penghantaran tertinggi di kawasan UUC Telipok dengan keseluruhan sebanyak 1.185 juta liter dihantar sehingga semalam, diikuti UCA 2 sebanyak 1.1 juta liter.

Secara keseluruhan, katanya 18 kawasan perumahan di sekitar Sepanggar atau utara bandar raya Kota Kinabalu dan Tuaran menerima penghantaran bekalan air percuma daripada Jetama Sdn Bhd bermula 8 November lalu.

Selain UUC dan UCA 2, kawasan lain yang menerima penghantaran bekalan air ialah Bandar Sierra, Taman Flamingo, Taman Bukit Sepanggar, Pusat Reintegrasi Penghuni Tuaran, bekas Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kampung Kauluan, Tuaran dan Taman Putramas Telipok.

Kawasan lain ialah Sekolah Sri Nangka, Tuaran; Hospital Tuaran, Apartment Sri Maju, Kampung Rakyat Baru Manggatal, Tang Dynasty Hotel, Taman Rugading, Taman Wangsa Telipok, Kampung Surusop dan Taman Puri Warisan.

Edward berkata, bekalan dijangka pulih selepas kedua-dua pam yang rosak di LRA Telibong 1 siap dibaiki seperti dijadualkan pada 28 November ini.

Bagaimanapun, katanya catuan bekalan air seperti dilakukan sebelum ini masih diteruskan memandangkan kapasiti LRA Telibong 1 dan Telibong 2 masih di bawah keupayaan untuk memenuhi permintaan pengguna.

Secara keseluruhan, katanya kedua-dua LRA hanya mampu mengeluarkan sebanyak 164 MLD berbanding keperluan pengguna sekurang-kurangnya 190 MLD.

Sementara itu, mengulas rungutan penghuni UUC yang tidak berpuas hati tiada bekalan air sampai ke rumah mereka sedangkan bangunan kedai di taman itu tiada masalah air, Edward berkata ia disebabkan bekalan air disalurkan dari punca yang berbeza.

“Air ke rumah penduduk UUC disalurkan dari LRA Telibong 1 yang ketika ini terjejas operasinya disebabkan kerosakan dua pam utama, manakala air di kedai kawasan berkenaan disalurkan dari LRA Telibong 2.

“Ada cadangan untuk membuat pintasan paip supaya air dari LRA Telibong 2 dapat disalurkan ke tangki utama untuk rumah penduduk tetapi kita perlu menelitinya kerana sebarang tindakan mungkin akan menjejaskan bekalan air ke kawasan lain pula dan memburukkan lagi keadaan,” katanya.

LRA Telibong 2 yang berkapasiti 90 MLD dikendalikan sepenuhnya oleh JANS digunakan untuk menyalurkan bekalan air ke kawasan utara bandar raya Kota Kinabalu, manakala LRA Telibong 1 yang turut menyalurkan bekalan ke kawasan yang sama, selain Tuaran hanya berkapasiti 74 MLD.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|