JANS minta jimat guna air sepanjang catuan hingga Jun 2022

JANS minta jimat guna air sepanjang catuan hingga Jun 2022

Kota Kinabalu: Pengguna di sekitar utara bandar raya, khususnya Sepanggar diminta supaya mengurangkan penggunaan air sebagai langkah sementara untuk memastikan bekalan dapat disalurkan sama rata ke semua kawasan.

Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Ir Edward Lingkapo, berkata langkah penjimatan itu disarankan sepanjang tempoh catuan yang dijangka berterusan sehingga Jun tahun depan berikutan kekurangan bekalan yang disalurkan dari dua Loji Rawatan Air (LRA) sedia ada di Tamparuli.

Beliau menyarankan agar penggunaan air bagi setiap individu dikurangkan kepada 180 liter sehari berbanding jumlah normal 250 liter sehari agar wujud lebihan untuk membolehkan semua kawasan menikmati bekalan.

“Kita kekurangan antara 10 juta liter sehari (MLD) hingga 12 MLD untuk kira-kira 40,000 penduduk, jadi kita perlu buat catuan. Dalam keadaan biasa setiap individu menggunakan kira-kira 250 liter sehari, jadi kita perlu kurangkan kepada 180 liter sehari.

“Di Singapura, penggunaan air dihadkan kepada 160 liter sehari bagi seorang individu untuk mengurangkan kos kerana harga air sangat mahal di sana.

“Jadi kita meminta kepada pengguna supaya berjimat atau mengurangkan penggunaan air. Kalau semua pengguna dapat melaksanakan perkara ini, kita dapat memastikan bekalan sentiasa ada di semua kawasan sepanjang tempoh catuan,” katanya pada sidang media khas isu gangguan air, di sini, hari ini.

Ketika ini, LRA Telibong 1 dan Telibong 2, masing-masing mempunyai keupayaan mengeluarkan 74 MLD dan 90 MLD dengan jumlah keseluruhan 164 MLD, namun kekurangan kira-kira 30 MLD berbanding keperluan sebenar pengguna melebihi 190 MLD.

Kekurangan bekalan itu tidak termasuk situasi kritikal yang dialami ketika ini yang mana penghantaran bekalan terpaksa dilakukan menggunakan lori di beberapa kawasan yang terputus bekalan disebabkan kerosakan dua pam di LRA Telibong 1.

Edward berkata, catuan dijangka dihentikan selepas kapasiti kedua-dua LRA itu ditingkatkan sebanyak 15 MLD kepada 179 MLD mulai Jun tahun depan selepas kerja menambah keupayaan sebanyak lima MLD di LRA Telibong 1 dan 10 MLD di LRA Telibong 2 siap.

Sementara itu, beliau turut meminta kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemimpin akar umbi di semua kawasan supaya membantu JANS menangani isu kecurian air yang menjadi antara penyumbang utama masalah air tidak berhasil (NRW) di Sepanggar.

Beliau berkata, ketika ini JANS kehilangan antara enam hingga lapan MLD sehari disebabkan kecurian air di kawasan setinggan sekitar Sepanggar selain terpaksa membelanjakan hampir setengah juta setahun untuk menyelesaikan masalah itu, namun masih berulang.

“Operasi pemotongan sambungan haram paip air di semua kawasan setinggan memang dilakukan, namun masalahnya siang kita potong, malam sudah disambung balik oleh penghuni setinggan.

“Malangnya, kita tidak boleh bertindak terhadap penghuni setinggan terbabit kerana di luar bidang kuasa JANS. Sebab itu kita minta piihak berkuasa lain khususnya PBT, Jabatan Tanah dan Ukur (JTU), polis dan Jabatan Imigresen untuk membantu kita.

“Isu kecurian air perlu diselesaikan bukan saja untuk menghentikan kerugian NRW, malah disebabkan sambungan haram paip dilakukan penghuni setinggan, pengguna berdaftar yang lain menghadapi gangguan bekalan,” katanya.

Pada masa yang sama Edward berkata, pihaknya turut meminta kerjasama PBT, khususnya Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk mengawal pembangunan di sekitar bandar raya supaya pengagihan bekalan air dapat dilaksanakan secara lebih teratur bagi mengelak kekurangan bekalan.

Katanya, pelaksanaan projek pembangunan turut menjadi antara sebab gangguan kepada infrastruktur pengagihan air yang akhirnya menjejaskan bekalan kepada pengguna.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|