Covid-19 Sabah: Kluster Lautan Biru punca kes naik mendadak di KK

Covid-19 Sabah: Kluster Lautan Biru punca kes naik mendadak di KK

Kota Kinabalu: Daerah Kota Kinabalu mencatat kenaikan mendadak kes baharu Covid-19 disebabkan kluster baharu membabitkan anak kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang dilaporkan hari ini.

Kluster Lautan Biru itu setakat ini dikesan membabitkan seramai 93 individu sekali gus menyebabkan kes baharu di Kota Kinabalu meningkat kepada 161 kes berbanding 98 kes yang dilaporkan semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata peningkatan mendadak kes di Kota Kinabalu itu secara tidak langsung turut meningkatkan kes keseluruhan di Sabah hari ini kepada 485 kes berbanding 437 kes semalam.

“Pertambahan yang agak banyak ini berpunca daripada kenaikan mendadak jumlah kes di Kota Kinabalu daripada 98 kes semalam kepada 161 kes hari ini dengan peningkatan sebanyak 63 kes.

“Punca utama kenaikan mendadak ini ialah Kluster Lautan Biru yang melibatkan anak kapal TLDM. Jangkitan berlaku semasa operasi dan setakat ini 93 orang disahkan positif.

“Mengikut statistik, cuma tiga kes daripada 161 kes didaftar di Kota Kinabalu sepanjang 24 jam yang lalu, selebihnya adalah kes daftar lewat dua hari atau lebih lama selepas keputusan saringan diketahui,” katanya dalam kenyataan, petang ini.

Beliau berkata, beberapa daerah lain mencatat pertambahan kes harian yang agak ketara seperti Tuaran dan Kota Marudu tetapi daerah seperti Penampang, Papar dan Tenom mencatat jumlah kes harian yang jauh lebih rendah hari ini.

Katanya, kes daripada Kluster Lautan Biru (91 kes hari ini) dan Kluster Kemburongoh di Ranau (satu kes) menyumbang hampir 19 peratus daripada jumlah kes di Sabah hari ini.

“Diperhatikan juga peratusan kes saringan kontak rapat dan kes saringan bergejala hampir sama tinggi, iaitu masing-masing 39 peratus dan 36 peratus.

“Ini satu petanda jelas virus Covid-19 sudah berada secara meluas di tengah masyarakat dan risiko jangkitan secara sporadik semakin tinggi,” katanya.

Statistik Covid-19 Sabah mengikut daerah:

Covid Update 22 November 2021
Sabah 485 (437)
Malaysia 4,885 (4,854)

Kota Kinabalu 161 (98)
Tuaran 62 (22)
Ranau 33 (26)
Kota Marudu 27 (13)
Penampang 26 (39)
Kota Belud 23 (38)
Papar 18 (32)
Putatan 18 (19)
Keningau 17 (14)
Beaufort 16 (19)
Tawau 12 (5)
Kuala Penyu 11 (9)
Tenom 11 (24)
Kudat 9 (10)
Sandakan 7 (13)
Lahad Datu 6 (9)
Sipitang 5 (4)
Tongod 5 (2)
Beluran 4 (2)
Kunak 4 (2)
Tambunan 3 (5)
Telupid 3 (13)
Semporna 2 (0)
Kinabatangan 1 (17)
Nabawan 1 (0)
Pitas 0 (1)
Kalabakan 0 (1)

Angka dalam kurungan adalah jumlah kes pada 21 November 2021

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|