Keunikan masyarakat Sabah antara tarikan pelancongan negeri

Keunikan masyarakat Sabah antara tarikan pelancongan negeri

Kuala Lumpur: Kekuatan pelancongan Sabah tidak hanya terletak pada kekayaan alam semulajadi tetapi juga masyarakat yang majmuk dan unik.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai, berkata, kemesraan masyarakat Sabah yang terdiri daripada pelbagai kaum juga menjadi sebahagian daya tarikan kepada para pelancong untuk datang ke negeri ini.

“Kita mempunyai 40 jenis etnik dan lebih 200 kumpulan sub-etnik dengan perbezaan dialek, budaya dan adat resamnya sendiri.

“Walaupun berbilang kaum dan agama, namun rakyat Sabah tetap hidup bersama-sama dalam suasana harmoni dan tentu sekali ia menjadi tarikan,” katanya.

Joniston yang juga pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah berkata demikian dalam wawancara bersama Rancangan Selamat Pagi Malaysia mengenai pelancongan luar bandar berasaskan komuniti, hari ini.

Beliau berkata, kesatuan dan keramahan penduduk Sabah juga terserlah di kawasan luar bandar, di mana komuniti bekerjasama memajukan kampung masing-masing dengan mengusahakan aktiviti pelancongan.

Katanya, pelancongan berasaskan komuniti itu terbukti mampu menjana sumber pendapatan baru kepada penduduk kampung.

“Konsep pelancongan ini juga dapat meningkatkan kesatuan dan kerjasama penduduk setempat kerana mereka mahu berjaya dalam usaha pelancongan.

“Ia juga membuka peluang pekerjaan kepada orang-orang muda dan yang paling penting meningkatkan kesedaran dalam pemuliharaan alam sekitar. Ini membolehkan pelancong datang untuk melihat sendiri bagaimana penduduk kampung menjaga kawasan mereka.

“Di Sabah, kita sudah terkenal dengan gunung dan lautan yang cantik. Tetapi permata pelancongan juga ada di luar bandar dan selain itu, masyarakat majmuk juga menjadi tarikan,” katanya.

Joniston menegaskan Lembaga Pelancongan Sabah sentiasa aktif mengenalpasti produk pelancongan luar bandar dan membantu penduduk kampung agar sentiasa bersedia menerima pengunjung dan memberi perkhidmatan terbaik sejak sekian lama terjejas akibat pandemik Covid-19.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|