Kota Kinabalu: Perlawanan persahabatan di antara pasukan bola sepak Sabah Electricity Sdn Bhd dengan Persatuan Wartawan Sabah (SJA) menjadi landasan penting untuk mengeratkan kerjasama kedua-dua pihak.
Perlawanan berkeputusan 7-1 yang dimenangi SESB itu diadakan hasil inisiatif kedua pihak untuk menjalankan aktiviti persahabatan selepas kelonggaran sekatan akibat pandemik Covid-19.
Antara tujuan perlawanan berkenaan juga bagi mengeratkan lagi silaturahim serta kerjasama antara SESB dan media di negeri ini.
Jurucakap SJA, Fardy Bungga berkata, matlamat penganjuran perlawanan persahabatan ini adalah untuk memupuk dan menyemai semangat kesukanan dalam kalangan masyarakat.
Katanya, ia bertujuan untuk mendidik semua yang terlibat untuk mengamalkan gaya hidup sihat dengan penyertaan aktif dalam bidang sukan.
“Disamping itu, secara tidak langsung perlawanan persahabatan ini juga dapat membantu mengurangkan tekanan kerja,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan berkenaan.
Fardy Bungga berkata, dalam perlawanan ini bukan pemenang yang dicari sebaliknya hubungan silaturahim menjadi agenda utama aksi bola sepak persahabatan berkenaan.
-Deasoka