Krisis kepemimpinan PKR Sabah: Anwar diminta selesai kemelut

Krisis kepemimpinan PKR Sabah: Anwar diminta selesai kemelut

Kota Kinabalu: Angkatan Muda Keadilan (AMK), Wanita Keadilan, Srikandi Keadilan dan Skuad Keadilan PKR Sabah menggesa presiden parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelesaikan segera kemelut kepemimpinan yang berlaku dalam PKR Sabah.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, keempat-empat sayap PKR Sabah itu mahu Anwar bertemu dengan setiap Ketua Cabang dan ketua sayap PKR di Sabah bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

Mereka juga berharap Anwar dapat menggunakan kebijaksanaan dan budi bicara sebagai pemimpin nombor satu parti untuk melunaskan kehendak akar umbi agar PKR Sabah dapat memperkukuhkan semula kepemimpinan sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) yang dijangka diadakan tahun depan

“Kita sudah sedia maklum krisis kepemimpinan yang melanda PKR Sabah bukan perkara baharu, malah ia sudah berlanjutan sejak 2017.

“Kami juga maklum bahawa wujud Akuan Bersumpah (SD) untuk menggugurkan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN), Datuk Christina Liew yang ditandatangani 17 Ketua Cabang dan Ketua-Ketua sayap negeri.

“Bagi memperkukuhkan jentera Keadilan Sabah, kami perlukan kepimpinan yang mendapat sokongan majoriti dan kukuh agar pemimpin berkenaan mampu membawa parti ke peringkat lebih tinggi dan bukan sekadar menjadikan parti sebagai ‘penumpang’ di atas bahtera parti lain.

“Oleh itu sebelum perkara ini menjadi lebih teruk, kami menggesa Presiden Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelesaikan kemelut yang melanda dengan bertemu setiap Ketua-ketua Cabang dan ketua-ketua sayap Keadilan Sabah,” kata kenyataan itu.

Kenyataan berkenaan dikeluarkan bersama oleh Ketua Penerangan AMK Sabah, Razeef Rakimin; Ketua Penerangan Wanita Keadilan Sabah, Artini Ali Taugan; Ketua Penerangan
Srikandi Keadilan Sabah,Siti Norffinie Yassin dan Ketua Penerangan Skuad Keadilan Sabah, Mohd Ridhwan Masrin.

Menerusi kenyataan itu, mereka turut mengambil maklum kenyataan yang dikeluarkan Ketua Penerangan Keadilan Sabah, Chrisnadia Sinam sebelum ini yang dilihat tidak menjernihkan keadaan, sebaliknya hanya menujukkan ego.

“Kenyataan itu juga dilihat mempersenda anak muda seolah-olah anak muda hanya perlu tertumpu kepada satu isu.

“PKR amat dikenali sebagai sebuah parti yang mempunyai pimpinan muda yang lantang dan berani memperjuangkan isu-isu rakyat, tidak hanya terikat kepada isu anak muda.

“Selain isu anak muda, AMK Sabah juga lantang memperjuangkan isu rakyat, menyentuh soal kos sara hidup, ketirisan kerajaan, isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), masalah infrastruktur serta banyak lagi isu lain,” katanya.

Jelas mereka, kenyataan Chrisnadia itu dilihat tidak kemas selain bersifat peribadi menyerang AMK dan ‘menjilat’ pemimpin.

Kata mereka lagi, tuduhan terhadap AMK seolah-olah kenyataan sayap itu sebagai sabotaj kepada parti juga sangat dangkal.

“Jika teguran dan kritikan dikatakan sebagai sabotaj, adakah Keadilan sedang menuju kepada sebuah parti yang mana ahli perlu ‘tunduk dan jilat’ walau kelemahan pimpinan perlu ditegur?

“Kita tidak berniat menunjukkan kebencian terhadap Christina seperti yang diperkatakan Chrisnadia, malah kita menyokong beliau untuk terus menjadi Ahli Parlimen Tawau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api.

“Namun, kita bukan sahaja membawa suara 17 Ketua Cabang, malah membawa suara sayap AMK, Wanita, Srikandi dan Skuad Keadilan Sabah,” katanya.

Mengenai kenyataan Chrisnadia yang mengungkit lantikan politik tiga empat orang pemimpin AMK oleh Christina ketika menjadi kerajaan sebelum ini, mereka menjelaskan bahawa ia menggambarkan Chrisnadia tidak tahu maksud kepemimpinan sebenar menjaga organisasi jika habuan pangkat dan jawatan menjadi kayu ukur sumbangan Pengerusi negeri kepada AMK.

“Merujuk kepada jelajah Pengerusi negeri, beliau melakukan jelajah setelah maklum bahawa majoriti Ketua-Ketua Cabang menolak beliau. Christina telah turun ke tiga zon setakat ini. Adakah beliau mendapat sambutan? Kami berharap neliau boleh menilai sendiri sokongan terhadap beliau dan berlapang dada menerima keputusan.

“Merujuk kepada soal kerja, kami yakin Chrisnadia tahu bahawa sayap AMK, Srikandi, Wanita dan Skuad sentiasa turun ke lapangan malah jauh lebih aktif daripada program yang dijalankan Majlis Pimpinan Negeri Keadilan Sabah.

“Kenyataan Chrisnadia bahawa tindakan AMK ini bakal menyebabkan generasi muda menjauhkan diri daripada parti ini juga tidak berasas kerana aktifnya sayap parti turun ke lapangan serta kelantangan menegur dan mengkritik bukan sahaja lawan malah sekutu termasuk pimpinan sendiri adalah sebab mengapa golongan muda termasuk aktivis dan golongan profesional memilih parti ini,” katanya.

Kenyataan itu menyebut PKR melahirkan anak muda yang berani dan tidak tunduk kepada pemimpin seperti mana AMK pernah menegur Christina ketika beliau gagal membantu rakyat yang dikenakan PKPD sehingga penduduk melakukan demonstrasi dengan mengabaikan wabak Covid-19.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|