Enam pemandu mabuk ditahan

Enam pemandu mabuk ditahan

Penampang: Enam pemandu ditahan selepas didapati memandu dibawah pengaruh alkohol dalam operasi yang dijalankan di Jalan Bundusan, malam tadi.

Operasi yang berakhir jam 3 pagi itu dijalankan hasil kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.

Seramai enam pemandu dan 24 saman dikeluarkan sepanjang operasi Op Mabuk yang berakhir jam 3 pagi tadi. Pix ihsan IPD Penampang

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, sepanjang operasi berkenaan, sebanyak 80 individu dan kenderaan ditahan untuk pemeriksaan.

Katanya, hasil pemeriksaan, enam individu ditahan di bawah Seksyen 45 A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu atas kesalahan memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang ditetapkan.

Pasukan polis menjalankan pemeriksaan terhadap pemandu kenderaan di Jalan Bundusan dalam operasi Op Mabuk, malam tadi. Pix ihsan IPD Penampang

“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara selama dua tahun dan denda tidak kurang dari RM10,000 dan tidak melebihi RM30,000.

“Dalam masa sama, kita turut mengeluarkan sebanyak 24 saman atas pelbagai kesalahan antaranya tiada lesen memandu, mengubahsuai kenderaan, lesen memandu tamat tempoh, mengubahsuai ekzos kenderaan dan nombor plat tidak mengikut spesifikasi,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Haris berkata, operasi kali ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.

Katanya, operasi ini antara lainnya bertujuan untuk memantau keselamatan pengguna jalan raya supaya sentiasa patuh dengan undang-undang lalu lintas yang ditetapkan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|