Konfrontasi bukan pendekatan tuntut hak Sabah dan Sarawak

Konfrontasi bukan pendekatan tuntut hak Sabah dan Sarawak

Kota Kinabalu: Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili menggunakan pengalaman untuk mengelak pendekatan konfrontasi berkaitan tuntutan Sabah dan Sarawak ketika membangkitkan isu ‘penjajahan Putrajaya’ pada persidangan Parlimen semalam.

Ketua Pemuda PBS, Christoper Mandut, berkata Maximus yang mempunyai pengalaman enam penggal sebagai Ahli Parlimen juga menjadikan beliau calon terbaik untuk mengetuai portfolio baharu Hal Ehwal Sabah dan Sarawak di bawah Jabatan Perdana Menteri.

“Beliau pernah membangkitkan isu berkaitan kekurangan pembangunan di Sabah ketika PBS menjadi pembangkang dan pandangan beliau kekal konsisten sehingga hari ini. Beliau bekerja keras memastikan hak dan tuntutan Sabah dan Sarawak, seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dipenuhi.

“Secara amnya, beliau telah memperjuangkan hak kita, tidak kira sebagai pembangkang ataupun sebaliknya. Pengalaman luas mengajar beliau bahawa pendekatan konfrontasi tidak semestinya membuahkan hasil. Suasana yang kondusif adalah penting.

“Presiden PBS percaya bahawa tuntutan kita akan dipenuhi melalui kerjasama semua pihak,” katanya.

Netizen melabel Maximus sebagai pro-Putrajaya dan pengkhianat berikutan kenyataan beliau kepada Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman dan Ahli Parlimen Keningau, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan supaya tidak mempolitikkan isu pembangunan Sabah dan Sarawak sehingga menjejaskan keamanan negara.

Ahli Parlimen Kota Marudu itu turut menasihatkan Azis agar mengelak daripada menggunakan perkataan ‘jajah’, kerana ia boleh disalah anggap sebagai mencetuskan sentimen dan menimbulkan kekeliruan kepada rakyat atau harus tampil dengan bukti bagi menyokong dakwaan itu.

Christoper berkata, beliau bersetuju dengan Maximus bahawa setiap aduan perlu dibawa kepada perhatian kerajaan dengan mengemukakan laporan dan bukti kepada pejabat Ketua Menteri untuk dibentangkan pada mesyuarat Majlis Khas MA63 (MKMA63).

“Majlis itu adalah platform terbaik kerana ia dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub dan dianggotai kedua-dua Ketua Menteri Sabah dan Sarawak serta lapan menteri kanan.

“Sudah semestinya, sebarang ketidakpatuhan yang dibangkitkan akan dibincangkan supaya penyelesaian yang sewajarnya dapat dibuat,” katanya.

Jelasnya, perjuangan politik PBS adalah melalui pendekatan perpaduan kesatuan dalam memperjuangkan hak, keistimewaan negeri dan terus berpegang teguh kepada tuntutan undang-undang, seperti yang termaktub dalam MA63.

“PBS memihak kepada perjuangan Sabah sebenar yang membawa kemajuan, pembangunan ketara dan keamanan untuk rakyat kita. PBS tidak memihak kepada revolusi tanpa tujuan ataupun permainan politik untuk kepentingan politik yang tidak berfaedah,” tegasnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|