Kluster tempat kerja dikesan hari ini

Kluster tempat kerja dikesan hari ini

Kota Kinabalu: Dua kluster baru dikesan di Sabah hari ini, melibatkan penularan jangkitan dalam komuniti dan di tempat kerja.

Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata bagi Kluster Kebun Lama, Papar telah dikesan di daerah Kota Kinabalu.

“Kes indeks adalah lelaki, 33 tahun yang disahkan positif Covid-19 hasil saringan sign-on kapal pada 15 Julai lalu.

“Saringan kontak rapat mendapati satu kes positif di daerah Papar pada 17 Julai. Berikutan penemuan kes positif itu, saringan kontak dijalankan terhadap 35 sampel dan mendapati 26 kontak positif menjadikan jumlah kumulatif kes positif sebanyak 27 kes,” katanya.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati bahawa punca pertambahan bilangan kes positif dalam kalangan keluarga disyaki berpunca daripada majlis pengebumian yang diadakan di Kampung Kabang pada 6 Julai.

Ia diikuti dengan majlis tahlil selama lima hari yang dihadiri 60 orang di Kg Nagapas, Papar.

Sementara itu, satu lagi kluster yang dikesan, iaitu Kluster Kuril berlaku di tempat kerja iaitu sebuah ladang sawit di Mukim Sukau, Kinabatangan.

“Kes indeks merupakan pemandu ladang, lelaki, 26 tahun yang disahkan positif Covid-19 dengan keputusan RTK-Ag (grading 100 peratus) di Klinik Mabello Paris, Kinabatangan pada 15 Julai lalu.

“Saringan kontak kemudian mengesan 11 lagi kes positif dalam kalangan keluarga, pekerja dan tanggungan.

“Aktiviti siasatan, persampelan Covid-19 dan disinfeksi masih diteruskan di lapangan untuk menilai sebaran jangkitan dan risiko kemungkinan jangkitan lebih meluas kepada pekerja ladang berdekatan yang lain,” katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.

Tambahnya, setakat hari ini, terdapat 12 kes positif COVID-19 direkodkan termasuk 10 kes baharu.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata sebanyak 497 kes positif COVID-19 baharu telah dikesan hari ini, manakala, satu kes kematian dilaporkan dari daerah Tawau.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|