Longest 21 hadir bersama single ‘Dunia’ di tengah pandemik

Longest 21 hadir bersama single ‘Dunia’ di tengah pandemik

Kota Kinabalu: Pandemik Covid-19 yang melanda negara ketika ini bukan halangan kepada sekumpulan anak muda dari Sabah yang menggelarkan diri mereka Longest 21 untuk mengetengahkan bakat seni dan menyemarakkan lagi arena hiburan tempatan.

Meskipun sekarang mungkin bukan masa yang baik untuk arena hiburan disebabkan sekatan mengadakan persembahan bagi menghalang penularan Covid-19, bakat seni anggota kumpulan yang diketuai Maswani Maswan itu tidak perlu menunggu sehingga keadaan pulih untuk ditonjolkan.

Berkonsepkan irama Rap atau Rock Alternatif, Longest 21 ditubuhkan pada pertengahan Jun lalu dengan misi untuk mempelbagaikan genre muzik tempatan dan bersaing dalam arena seni suara di Sabah atau Malaysia umumnya.

Kumpulan yang baru berusia sebulan itu menggabungkan lima artis muda dengan Maswani selaku ketua, penggubah lirik dan muzik selain merangkap sebagai penasihat serta pengurus Longest 21.

Empat anggota lain ialah Zainal Chew sebagai vokalis, penulis lirik dan muzik serta pemain drum; Alif Fatahillah Chew sebagai penyanyi rapper, pemain gitar dan penulis lirik; Radinal Jipon sebagai pemain gitar utama, penulis lirik dan muzik serta Asnawi Jipon selaku produser muzik, penggubah muzik dan lirik merangkap pemain keyboard.

Walaupun baru ditubuhkan, Longest 21 sudah melancarkan album single pertama berjudul ‘Dunia’ yang diterbitkan oleh Spotify pada 7 Julai lalu dan kini boleh didengar melalui pelbagai saluran digital.

Maswani berkata, peminat muzik seluruh negara boleh mendengar karya sulung Longest 21 itu melalui aplikasi Spotify Apple Music, ITune, Instagram, Facebook, Tik Tok atau Resso, selain di laman Youtube Music, Amazon, Soundtrack by Twitch, Padora, Deezer, Tidal, IHeartRadio, ClaroMusica, Saavn dan Boomplay.

Katanya, lagu berkonsepkan irama Rap itu juga boleh didengar melalui saluran Anghami, KKBox, NetEase, Tencent dab Triller serta YandexMusic.MediaNet dan Audiomack.

Selain lagu ‘Dunia’, Maswani berkata beliau bersama ahli kumpulannya juga sedang menyiapkan beberapa lagu lain untuk diterbitkan tidak lama lagi sebagai langkah ke hadapan untuk memastikan Longest 21 terus dikenali dalam arena muzik tempatan.

“Berbekalkan semangat dan minat mendalam dalam bidang seni suara, kami percaya dapat membawa Longest 21 lebih jauh dan menjadi sebutan peminat seni setanding dengan kumpulan seni sedia ada di seluruh negara suatu hari nanti.

“Kami juga bersungguh-sungguh dengan seikhlas hati ingin memperagakan kehebatan kumpulan anak tempatan ini ke seluruh pelusuk Borneo ini dengan memajukan muzik tanah air di Sabah,” katanya.

Beliau turut menyatakan penghargaan dan terima kasih terhadap individu yang banyak memberi kata semangat kepada Longest 21, Amat Jutrah selain sambutan peminat seni hiburan dengan kemunculan single ‘Dunia’ melalui stesen radio dan saluran digital lain.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|