KK tenang, tiada perhimpunan

KK tenang, tiada perhimpunan

Kota Kinabalu: Tiada sebarang perhimpunan dikesan di sekitar pusat bandar raya Kota Kinabalu, membabitkan penganjuran ‘keluar dan lawan’ yang didakwa diadakan di seluruh negara, hari ini.

Tinjauan di sekitar Padang Merdeka mendapati keadaan lengang namun terdapat kawalan ketat yang dilakukan oleh pihak polis.

Selain itu, beberapa lokasi yang sering menjadi tumpuan ramai juga turut tiada sebarang perarakan atau berkumpul membabitkan sekumpulan individu berbaju hitam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, pihak akan terus melakukan pemantauan di beberapa lokasi sesuai untuk dijadikan tempat berkumpul.

Namun katanya, sehingga petang tadi, tiada sebarang pergerakan beramai-ramai atau perhimpunan diadakan seperti yang diuar-uarkan sejak beberapa hari lalu.

“Antara lokasi yang kita letakkan penugasan adalah sekitar Padang Merdeka, pusat beli belah Imago dan One Borneo.

“Setakat ini, semua lokasi berada dalam keadaan terkawal dan tiada sebarang perhimpunan dikesan,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, pemantauan akan diteruskan sehingga jam 5 petang, hari ini, bagi memastikan perkara itu benar-benar tidak diadakan.

Katanya, masyarakat dinasihatkan supaya tidak sesekali menyertai sebarang perhimpunan atau demonstrasi di ibu negeri ini.

“Polis akan mengambil tindakan keras termasuk mengenakan kompaun selaras dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tidak membenarkan sebarang perhimpunan di tempat awam,” katanya.

Pasukan polis melakukan pemantauan seawal jam 9 pagi membabitkan seramai 112 pegawai dan anggota polis dari Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|