Covid-19: Kes di Sabah masih tinggi

Covid-19: Kes di Sabah masih tinggi

Kota Kinabalu: Meskipun turun sedikit kepada 1,035 kes berbanding 1,066 kes semalam, situasi Covid-19 di Sabah hari ini masih pada tahap yang tinggi mencecah empat angka.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata saringan kontak rapat terus menjadi penyumbang tertinggi dengan 497 kes atau 48.02 peratus daripada jumlah kes keseluruhan hari ini.

Katanya, ia disusuli jangkitan yang dikesan melalui saringan bergejala sebanyak 251 kes (24.02 peratus) dan saringan kluster sebanyak 191 kes (18.45 peratus).

“Ini satu petanda jelas bahawa virus Covid-19 sudahpun berada dalam komuniti dan jangkitan berlaku secara sporadik atau tidak diketahui siapa yang menjangkiti atau bagaimana boleh terjangkit.

“Sejumlah 115 kes hari ini adalah OKT atau Tahanan Kesalahan Imigresen, empat kes banduan dari Penjara Kota Kinabalu dan 111 kes dari Depot Tahanan Imigresen Tawau yang dimasukkan dalam kategori saringan bergejala,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Kematian akibat Covid-19 pula menyaksikan sembilan pesakit dilaporkan meninggal dunia di Sabah pada hari ini berbanding enam yang dilaporkan semalam.

Daripada sembilan kes kematian itu, tiga dilaporkan di Tawau, diikuti dua kes di Kota Kinabalu dan masing-masing satu kes di Kota Belud, Kudat, Putatan dan Tuaran.

Berdasarkan jangkitan mengikut daerah, Kota Kinabalu kekal tertinggi hari ini dengan 212 kes, diikuti Tawau (139 kes), Tuaran (72), Telupid (71), Kota Marudu (70), Penampang (67), Sandakan (52), Keningau (49), Beaufort (45), Papar (42), Beluran (35) dan Kinabatangan serta Sipitang, masing-masing 33 kes.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata daripada 1,035 kes yang dilaporkan hari ini, 76.52 peratus berada dalam kategori 1 dan 2.

“Kategori 1, iaitu 380 kes adalah mereka yang tidak mengalami sebarang simptom dan Kategori 2 iaitu sebanyak 412 kes sekadar mengalami simptom
ringan (mild).

“Kedua-dua kategori pesakit ini tidak perlu dimasukkan di hospital untuk rawatan, sekadar ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC),” katanya.

Dalam pada itu, Masidi berkata seramai 485 peskit Covid-19 di Sabah dilaporkan sembuh hari ini menjadikan jumlah kumulatif sembuh setakat ini seramai 76,935 orang.

Baki, seramai 4,156 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 862 orang di hospital, 3,254 orang PKRC di Pusat Awam, manakala 40 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara.

Bilangan pesakit dalam Unit Rawtan Rapi (ICU) pula ialah 103 orang, manakala 29 pesakit lagi memerlukan alat bantuan pernafasan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|