Keningau: Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim dilantik menjadi Ketua Polis Daerah (KPD) Keningau baharu, hari ini, bagi menggantikan Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain.
Nor Rafidah yang juga anak jati Tawau melakar sejarah bagi Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah sebagai wanita pertama menjawat jawatan berkenaan di negeri ini.
Majlis serah terima tugas berkenaan berlangsung di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau dengan disaksikan oleh Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun.
Jauteh berkata, pelantikan ini adalah bukti kecemerlangan dan kebolehupayaan seorang pegawai kanan polis.
Katanya, PDRM jelas tidak menilai kesesuaian jawatan melalui jantina sebaliknya lebih kepada prestasi dan kebolehan memimpin.
“Saya mendoakan yang terbaik kepada KPD baharu dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab yang diberikan.
“Begitu juga saya mengucapkan tahniah juga kepada bekas KPD, Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain yang akan bertukar ke KPD Kota Belud dengan kenaikan pangkat,” katanya.
Sementara itu, Nor Rafidah berkata, beliau amat bersyukur dan berterima kasih kepada pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana diberikan kepercayaan untuk memimpin tugas KPD.
Katanya, tugas yang diberikan ini adalah satu lagi cabaran terbaru bagi diri selepas menceburi bidang kepolisan sejak 14 tahun lalu.
“Saya mula memasuki polis sejak tahun 2007 dan berkhidmat selama 12 tahun di Bukit Aman dengan bertugas di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).
“Pada tahun 2018, saya dipindahkan ke IPK Sabah dengan bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) JSJ IPK Sabah,” katanya.
Menurutnya, walaupun jawatan sebagai KPD, nampak berat tetapi ia tidak akan melunturkan semangatnya untuk mengalas tanggungjawab ini.
“Demi tanggungjawab saya sebagai warga polis yang sentiasa menjanjikan perkhidmatan yang terbaik kepada ‘stakeholder’, khususnya masyarakat daerah ini.
“Saya percaya KPD sebelum ini sudah menyediakan satu sistem kerja yang baik di IPD Keningau.
“Maka akan saya teruskan dalam pentadbiran saya kelak. Bagaimanapun, saya perlukan sokongan, dorongan dan nasihat dan tunjuk ajar daripada semua pihak terutama warga kerja IPD Keningau untuk kita bersama-sama realisasikan hala tuju dan fokus penugasan PDRM,” katanya.
-Deasoka