WARISAN kembang sayap ke Semenanjung, promosi konsep ‘unity’ sebagai asas politik baharu

WARISAN kembang sayap ke Semenanjung, promosi konsep ‘unity’ sebagai asas politik baharu

Kuala Lumpur: Parti Warisan Sabah (WARISAN) hari ini secara rasmi melebarkan sayapnya ke Semenanjung dalam usaha untuk mengembangkan konsep perjuangan pelbagai kaum di negara ini.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata parti itu membuka pintu kepada penyertaan semua kaum selari dengan pendekatan WARISAN yang mementingkan konsep ‘unity’ atau kesatuan pelbagai kaum.

Dalam ucapannya sempena pelancaran WARISAN peringkat nasional di Kuala Lumpur, beliau berkata parti itu mahu membina sebuah negara yang tidak berlandaskan hanya kepada kaum dan agama.

Katanya, pendekatan WARISAN adalah untuk menyediakan peralihan daripada sistem politik kepartian berasaskan kaum dan agama kepada landasan baharu yang lebih inklusif dan bersifat pelbagai kaum.

“Kita sudah lebih 60 tahun merdeka tetapi masih lagi dibangkitkan dengan persoalan kaum, orang Melayu di Malaysia tidak akan mati kalau tiada UMNO, Islam di Malaysia tidak akan lumpuh kalau tiada PAS.

“Begitu juga orang Cina, mereka tidak akan mati di Malaysia kalau tiada DAP. Mana ada UMNO di Indonesia, mana ada PAS di Brunei, mana ada DAP di China,” katanya.

WARISAN yang diasaskan di Sabah pada 2016 adalah sebuah parti pelbagai kaum berikutan disertai pemimpin berlainan kaum dan agama yang ada di Sabah.

Parti itu turut menggunakan konsep ‘unity’ dalam mengembangkan ideologi politiknya bagi menarik sokongan rakyat pelbagai kaum di Sabah dan seluruh negara secara keseluruhannya.

Menerusi pengembangan sayapnya ke Semenanjung, WARISAN bekerjasama dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang diketuai bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai persediaan berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Jika memenangi PRU-15, Mohd Shafie berkata beliau akan menjadi Perdana Menteri untuk semua.

Sementara itu, Mohd Shafie mendedahkan beliau pernah menolak pelawaan bekas Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) ketika bekas Perdana Menteri itu menjadi pengerusi parti berkenaan.

Ahli Parlimen Semporna itu, berkata beliau tidak mahu terus terikat dengan parti berasaskan kaum, sebaliknya mahu menubuhkan parti pelbagai kaum bersama pasukannya yang akan bermula dari Sabah.

WARISAN berjaya membentuk kerajaan negeri Sabah melalui kerjasama Pakatan Harapan dan sokongan beberapa bekas pemimpin UMNO dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) pada 2018 sebelum tewas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) mengejut September tahun lalu.

Parti itu turut bekerjsama dengan PH membentuk kerajaan Pusat pada 2018 tetapi membuat keputusan untuk bergerak sendiri sebagai pembangkang selepas kerajaan PH jatuh pada Februari tahun lalu yang kemudian digantikan Perikatan Nasional (PN) menerusi kerjasama dengan Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan parti tempatan lain.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|