Kerja pembaikan di 23 sekolah terjejas banjir disegerakan

Kerja pembaikan di 23 sekolah terjejas banjir disegerakan

Papar: Kerja pembersihan dan pembaikan sekolah terjejas akibat banjir akan disegerakan sebelum sekolah dibuka semula untuk sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka pada 3 Oktober depan.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin, berkata sebanyak 23 sekolah dikenal pasti terjejas akibat banjir yang melanda beberapa daerah sepanjang minggu ini.

Katanya, antara yang terjejas teruk ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Tampasak, Kinarut, dekat sini, yang kini berdepan masalah lumpur tebal akibat banjir.

“Oleh kerana ini adalah bencana alam, jadi saya minta kepada pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) menyediakan laporan dengan segera dan hantar ke ibu pejabat untuk kita proses.

“InsyaAllah kita akan usahakan beberapa bentuk bantuan segera, antaranya yang membabitkan soal pembaikan struktur bangunan yang rosak dan juga kerja kerja pembersihan.

“Kita akan sediakan beberapa bentuk bantuan dan peruntukan,” katanya ketika meninjau keadaan kerosakan dan lumpur yang mengotori SK Tampasak selepas dilanda banjir kilat, Rabu lalu.

Beliau berkata, kerja pembersihan dan pembaikan kerosakan akibat banjir perlu disegerakan memandangkan sekolah akan dibuka semula untuk sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka mulai 3 Oktober depan.

Bagi kerosakan sekolah yang tidak dapat dibaiki dalam tempoh terdekat, katanya pihak yang terbabit akan melihat kaedah yang sesuai untuk pengoperasian semula sekolah.

“Kalau kerja pembersihan dan pembaikan dapat kita selesaikan, InsyaAllah sesi persekolahan kita akan teruskan.

“Bagaimanapun, mana-mana sekolah yang mungkin terjejas teruk, kita akan bincang cara macam mana untuk memastikan pengoperasian sekolah itu dapat diteruskan,” katanya.

Sementara itu, Guru Besar SK Tampasak, Bahrun Kasran, berkata sekolah berkenaan sebelum ini memang sering mengalami banjir, namun banjir kali ini paling teruk dan menyebabkan banyak kerosakan.

Katanya, bangunan prasekolah, kantin dan tandas adalah antara kemudahan yang mengalami kerosakan teruk, selain pagar sekolah.

Lebih teruk, katanya banjir kali ini turut meninggalkan lumpur tebal selain sisa kayu yang sukar dibersihkan.

“Kami berusaha untuk membersihkan kotoran akibat banjir tetapi berdepan kesukaran kerana tenaga kerja yang terhad. Kita perlu menggunakan jentera untuk melakukan pembersihan,” katanya.

Beliau berkata, sebelum banjir, pihaknya sudah melaksanakan pembersihan sekolah untuk persediaan memulakan persekolahan secara bersemuka bulan depan.

Sekolah berkenaan mempunyai kira-kira 400 murid dan 30 guru.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|