300 guru di Sabah belum divaksin

300 guru di Sabah belum divaksin

Papar: Jabatan Pendidikan negeri sudah diminta untuk mengenal pasti kira-kira 300 guru di negeri ini yang belum menerima vaksin Covid-19.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin, berkata guru terbabit akan dipanggil dan dibawa berbincang mengenai apa alasan mereka.

Katanya, Kementerian Pendidikan sebolehnya mahu semua guru divaksin supaya tiada kebimbangan penularan Covid-19 dalam kalangan murid dan pelajar disebabkan ada guru tidak divaksin.

“Secara keseluruhan, daripada kira-kira 500,000 guru di seluruh negara, seramai lebih kurang 5,000 orang guru belum divaksin, setakat ini.

“Daripada jumlah itu, seramai 2,500 orang belum divaksin atas sebab perubatan atau kesihatan, manakala selebihnya menolak vaksin.

“Bagaimanapun, kita akan memanggil dan meminta mereka mengambil vaksin. kita juga akan bincang tindakan yang perlu kita ambil bagi menangani isu ini,” katanya ditemui ketika meninjau Sekolah Kebangsaan (SK) Tampasak, Kinarut, dekat sini yang terjejas akibat banjir.

Sementara itu, mengenai program vaksinasi yang membabitkan remaja atau pelajar sekolah, beliau meminta ibu bapa supaya tidak bimbang jika anak mereka belum sempat divaksin sebelum pembukaan sekolah.

Katanya, pihak kementerian akan melaksanakan program vaksinasi di sekolah apabila sekolah mula dibuka pada bulan depan.

“Jadi, ibu bapa tidak perlu risau dan terpaksa bersesak di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) kerana vaksinasi juga akan dibuat di sekolah apabila sekolah dibuka nanti,” katanya.

Katanya, kesedaran ibu bapa untuk memastikan anak-anak divaksin amat baik berdasarkan kehadiran di PPV yang ramai sejak vaksinasi untuk remaja berumur 12 tahun hingga 17 tahun dilaksanakan di Sabah sejak kelmarin.

Kerajaan negeri sebelum ini membuat keputusan untuk membenarkan golongan remaja di negeri ini divaksin bermula 16 September lalu, sejajar pembukaan semula sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka bermula 3 Oktober depan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, dalam kenyataannya sebelum ini menjelaskan keputusan itu juga selari dengan usaha Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memvaksin seramai mungkin individu bagi mencapai imuniti kelompok.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|