Kerajaan teruskan bantuan untuk keluarga terjejas Covid-19

Kerajaan teruskan bantuan untuk keluarga terjejas Covid-19

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri akan terus menyediakan bantuan kepada keluarga yang terjejas akibat pandemik Covid-19 bagi meneruskan kehidupan selepas era pandemik.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pelbagai bantuan diberikan golongan yang terjejas pendapatan akibat Covid-19 termasuk dalam bentuk makanan dan kewangan.

Katanya, bantuan kepada golongan terbabit diserahkan menerusi Bantuan Sabah Prihatin (BSP) 1.0, 2.0 dan yang terbaharu BSP 3.0.

“Dapatan daripada kajian mengenai tekanan dan cabaran ibu bapa dalam berdepan gelombang baharu pandemik Covid-19 menunjukkan 79.9 peratus keluarga terjejas akibat gelombang ketiga pandemik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran Bulan Keluarga Malaysia peringkat negeri anjuran Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN), di sini, hari ini.

Berikutan itu, Hajiji berkata institusi keluarga perlu diberikan sokongan dalam menghadapi isu berkaitan Covid-19.

“Kita beruntung kerana pemimpin negara begitu komited untuk memulihkan negara daripada masalah dan kesan pandemik.

“Pendekatan Keluarga Malaysia yang dibawa Perdana Menteri adalah yang paling tepat,” katanya.

Jelasnya, kajian LPPKN mengenai kesan pandemik Covid-19 terhadap tingkah laku dan kehidupan, bekerja dari rumah dan perancangan keluarga menunjukkan satu daripada empat responden mengatakan berlaku perubahan besar dalam kehidupan mereka.

Kesan paling ketara katanya ialah pengurusan kewangan keluarga dengan 49 peratus responden tidak lagi makan di luar, 44 peratus mengurangkan perbelanjaan bulanan, 40 peratus terpaksa mengorek wang simpanan dan 28 peratus lagi terpaksa mencari pekerjaan sambilan dan ekonomi gig.

“Walaupun kita hidup dengan Covid-19, ia tidak seharusnya menghalang kita mengukuhkan hubungan keluarga.

“Hubungan erat ibu bapa dengan anak-anak akan menjadi barisan hadapan membantu ahli keluarga yang berdepan tekanan dan kesan negatif disebabkan pandemik,” katanya.

Hajiji turut berharap agar sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti dapat memainkan peranan masing-masing bagi memastikan program kesejahteraan keluarga dapat dilaksanakan dengan berjaya.

“Saya juga berharap Bulan Keluarga Malaysia yang disambut setiap November akan menyatukan keluarga Malaysia bagi menghadapi krisis ekonomi dan Covid-19,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|