Sabah bakal hab pengeluar tenaga hidrogen di Asia Tenggara menjelang 2025

Sabah bakal hab pengeluar tenaga hidrogen di Asia Tenggara menjelang 2025

Kota Kinabalu: Sabah bakal menjadi hub pengeluar tenaga hidrogen yang boleh diperbaharui di rantau Asia Tenggara menjelang 2025.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Bung Moktar Radin berkata, projek itu akan dilaksanakan oleh syarikat milik penuh kerajaan Sabah iaitu Smart Sabah Corporation Sdn Bhd.

“Smart Sabah Corporation Sdn Bhd telah bermesyuarat pada 27 November lalu dan kita sudah memutuskan untuk mencadangkan mendapatkan tanah seluas 50,000 hektar dengan tujuan menjadikan Sabah sebagai hub utama gas hidrogen berskala besar di negeri ini.

“Projek ini dijangka akan memberi peluang pelaburan langsung kepada Sabah tidak kurang daripada RM25 bilion kepada Sabah di samping akan mewujudkan 20,000 peluang pekerjaan pelbagai sektor kepada rakyat Sabah,” katanya dalam sidang akhbar di pejaabatnya di Sembulan, di sini, pada hari ini.

Mengulas lanjut, Bung Moktar yang juga pengerusi syarikat itu berkata, projek itu memerlukan kos yang besar dan memerlukan pelabur untuk dilaksanakan.

“Sebab itu kita memerlukan pelabur datang dan sebenarnya ada negara sudah menghubungi kita berminat untuk bekerjasama dengan syarikat ini.

“Setakat ini antara negara yang berminat menjalinkan kerjasama dengan syarikat ini adalah Korea Selatan, Jepun dan Dubai. ,” katanya.

Menteri Kerja Raya Sabah itu turut memaklumkan, Sabah telah dikenal pasti sebagai antara kawasan yang dapat mengeluarkan gas hidrogen dengan banyak kerana kelembapan udaranya yang baik.

“Dengan adanya usaha seumpama ini, bermakna Sabah akan mendapat satu sumber pendapatan yang baharu dan kita tidak lagi bergantung dengan petroleum semata-mata sebab bahan api akan habis dalam 30 atau 40 tahun.

“Pembeli berebut kerana semua negara memerlukan gas hidrogen dan ia memang laku walaupun negara mereka boleh hasilkan juga tetapi tidak begitu banyak.

“Ini kerana Sabah mampu mengeluarkan gas hidrogen dengan banyak sebab kelembapan kita lebih baik berbanding negara luar seperti Eropah hanya 28 peratus dan di Sabah kita jangka 60 hingga 70 peratus kelembapan udara untuk kita hasilkan hidrogen itu nanti,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|