Kerajaan Sabah proaktif pastikan rakyat terima bantuan

Kerajaan Sabah proaktif pastikan rakyat terima bantuan

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sentiasa mengambil berat dan bertindak proaktif dalam memastikan rakyat negeri ini menerima bantuan daripada pelbagai pihak.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ini termasuk agensi pendidikan utama negara seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang berperanan membantu pelajar yang memerlukan, khususnya mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Katanya, PTPTN mengambil pelbagai langkah dan inisiatif untuk membantu para pelajar bagi meringankan beban kewangan mereka.

“Antaranya menerusi Program PTPTN Prihatin adalah Jelajah Simpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) 2021 sempena Bulan Menabung Simpanan SSPN (BMS) 2021.

“Ia bagi membantu meringankan beban golongan pelajar asnaf menerusi Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan zakat korporat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid dan rombongan di pejabatnya di Menara Kinabalu, semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Mohd. Khalid, Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Abidin Marjan dan Pengurus Besar PTPTN Negeri Sabah, Muliati Kamaruddin.

Pada sesi berkenaan, Hajiji turut menerima mock cek sebanyak RM80,000 untuk membantu pelajar-pelajar asnaf di Sabah.

Untuk rekod, seramai 800 pelajar akan menerima akaun Simpanan SSPN Prime dibawah PTPTN sebanyak RM100 setiap seorang dalam Program kerjasama antara Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Hajiji berkata, melalui usaha yang diambil ini akan memanfaatkan lebih ramai pelajar pada masa akan datang bagi memastikan peluang mereka menyambung pengajian ke institusi pengajian tinggi terjamin.

Katanya, menerusi pemberian sumbangan ini, ia diharap memberi manfaat yang besar kepada pelajar di IPT dan meringankan beban kewangan mereka, disamping mampu memupuk kesedaran kepentingan menabung.

“Dengan usaha murni PTPTN dan nilai yang mereka tanam dalam kalangan masyarakat mengenai kepentingan menabung, saya menyeru kepada semua agensi kerajaan negeri dan swasta di negeri ini supaya turut sama menyokong usaha, kempen dan promosi PTPTN ini di mana-mana lokasi bersesuaian di negeri ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|