Jalin kerjasama lahirkan pelajar TVET terlatih

Jalin kerjasama lahirkan pelajar TVET terlatih

Kota Kinabalu: Pemain utama industri di negeri ini diharap dapat menjalin kerjasama dengan Politeknik Kota Kinabalu dalam melahirkan graduan berkualiti tinggi menerusi program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia adalah untuk kepentingan industri itu sendiri yang mana mereka akan dapat mencari pekerja yang berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan mereka.

Katanya, kerajaan negeri menyokong penuh inisiatif yang diambil oleh Politeknik Kota Kinabalu bagi memastikan ia terus berkembang dan berdaya saing.

“Sebanyak 141 kolaborasi bersama agensi swasta dan jabatan kerajaan melalui pelbagai bidang. Ini adalah satu petunjuk yang baik kepada Politeknik Kota Kinabalu.

“Ini bermakna lebih banyak organisasi terutama daripada sektor swasta yang mengambil pelajar Politeknik untuk bekerja. Justeru, kita berharap Politeknik Kota Kinabalu akan terus melahirkan lebih ramai modal insan yang berkemahiran tinggi dan relevan dengan kehendak industri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pelancaran Sambutan Jubli Perak Politeknik Kota Kinabalu yang berlangsung secara virtual, hari ini.

Hajiji berkata, beliau turut berasa gembira selepas mengetahui sebanyak 17 program pengajian yang ditawarkan di peringkat sijil, pra-diploma dan diploma yang ditawarkan oleh Politeknik Kota Kinabalu.

“Setakat Disember 2019, Politeknik Kota Kinabalu melahirkan seranai 24,457 graduan TVET. Malah sejak ditubuhkan pada 1 Mac 1996, Politeknik Kota Kinabalu menjadi komponen penting dalam sistem pendidikan negeri khususnya dalam mempromosikan TVET kepada belia.

“Ramai belia kini menyedari kelebihan memperoleh kelayakan TVET yang sangat diperlukan dalam pasaran pekerjaan.

“TVET bukanlah pengajian kelas kedua untuk mereka yang tercicir atau kurang cemerlang, sebaliknya kerjaya berasaskan kemahiran yang ditawarkan menerusi pengajian TVET mampu menjanjikan pendapatan lumayan,” katanya.

Sementara itu, beliau turut ingin merakamkan tahniah kepada Politeknik Kota Kinabalu kerana berjaya melahirkan pelajar yang sangat inovatif, cemerlang dalam sukan, budaya dan akademik sejak 25 tahun yang lalu.

“Walaupun program yang ditawarkan sedikit berbeza dengan Universiti Awam, namun Politeknik mempunyai kelebihannya yang tersendiri.

“Kemahiran yang diperolehi oleh pelajar dapat digunakan sepanjang hayat selepas mereka memasuki alam pekerjaan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|