Kerajaan Sabah Potong 50 Peratus Gaji Menteri Dan Pembantu  Menteri

Kerajaan Sabah Potong 50 Peratus Gaji Menteri Dan Pembantu Menteri

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan melaksanakan pemotongan gaji 50 peratus untuk seluruh anggota kabinet selama dua bulan berkuatkuasa bulan ini.

Perkara itu diumumkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor bagi mengumpul dana untuk membiayai pengurusan pandemik COVID-19 di negeri ini.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan Negeri berkata, keputusan itu dipersetujui semua pihak dalam mesyuarat kabinet yang dipengerusikannya, semalam.

Selain itu katanya, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gabungan Rakyat Sabah (GRS) juga bersedia melepaskan 30 peratus daripada gaji masing-masing selama sebulan untuk tujuan sama.

“Semua simpanan itu akan digunakan sebagai dana bagi membiayai pengurusan pandemik COVID-19 negeri Sabah.

“Kami dalam kerajaan GRS bersatu untuk terus bersama rakyat dalam menghadapi masa sukar ini,” katanya pada sidang media selepas lawatan kerja beliau ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Hajiji turut memaklumkan, Kabinet kerajaan negeri akan melaksanakan Bantuan Sabah Prihatin 3.0 COVID-19 bernilai RM120.5 juta dan tambahan RM34.4 juta untuk bantuan bakul makanan kepada semua sektor yang terkesan akibat pandemik berkenaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|