Kerajaan prihatin masalah rakyat, bantu golongan B40 – Hajiji

Kerajaan prihatin masalah rakyat, bantu golongan B40 – Hajiji

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri sentiasa prihatin terhadap masalah yang dihadapi rakyat terutama kumpulan B40 yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kerajaan melalui pelbagai agensinya menyalurkan pelbagai bantuan kepada rakyat kumpulan B40 bagi membantu meringankan kos sara hidup mereka.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyampaikan bakul makanan kepada Amarjit Kaur.

“Bantuan bakul makanan kepada rakyat golongan B40 termasuklah masyarakat India membuktikan keprihatinan kerajaan dalam membela nasib rakyat di Sabah”, katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian sumbangan bakul makanan kepada masyarakat India B40 di pejabatnya di Menara Kinabalu, hari ini.

Turut hadir ialah Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Jabatan KetuaMenteri, Datuk Ag Shahminan Datuk Ag Sahari; Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajian Am Sabah, Jais Asri; Presiden Gabungan Masyarakat India Sabah (GMIS), Datuk Nagaraju Applasamy; Penasihat GMIS, Sivathalayan Subramaniam; Setiausaha GMIS, Rishi Kumar Loganathan; Bendahari GMIS, Sukawathi Shunmugan dan wakil komuniti Sikh, Datuk Ir Amarjit Singh.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyampaikan bakul makanan kepada masyarakat India B40, Jayakumaran A/L Arunasalam.

Sebanyak 1,100 bakul makanan akan diagihkan kepada masyarakat India di Sabah bagi membantu meringankan beban mereka akibat pandemik Covid-19, di samping sebagai persiapan merayakan sambutan Deepavali.

Hajiji berkata, semangat Keluarga Malaysia yang menggariskan tiga teras utama iaitu Keterangkuman (inclusivity), Kebersamaan (common ground) dan Kesyukuran (contentment) turut diterjemahkan pada majlis hari ini.

Beliau berharap, sumbangan daripada kerajaan negeri itu akan memberi sinar kegembiraan kepada keluarga yang menerima sumbangan, sebagai persediaan menyambut Hari Deepavali, Khamis ini.

“Saya dan keluarga ingin mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada semua masyarakat India di Sabah khasnya dan di seluruh negara amnya.

“Walaupun dalam suasana yang sederhana dan masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang berkuatkuasa, kita masih berpeluang sama-sama meraikan perayaan ini melalui semangat kebersamaan dan kesyukuran sebagai tanda bahawa kita adalah Keluarga Malaysia,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|